Tiada rancangan tambat ringgit

(PARLIMEN) Tiada rancangan tambat ringgit

STEVEN Sim menjawab soalan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini. FOTO: JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menambat ringgit kerana ia bukan penyelesaian yang tepat untuk menghadapi cabaran pada masa ini. 

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan terpaksa menaikkan kadar faedah jika menambat ringgit selari dengan dolar Amerika Syarikat (AS), yang akan memberi tekanan kepada kos pembiayaan lebih tinggi kepada rakyat. 

Selain itu, katanya, Malaysia akan hilang kebebasan dasar monetari dan perlu mengikut kadar faedah mata wang yang menambat ringgit.

“Bagi mengekalkan tambatan, kerajaan akan memerlukan rizab antarabangsa yang besar. Jika tidak, kerajaan terpaksa memperkenal kembali langkah kawalan modal untuk mencegah dan mengatasi tekanan spekulatif terhadap ringgit. 

“Jika langkah ini diperkenal sekarang, kesan negatifnya terhadap keyakinan pelabur yang akan melibatkan kos sangat tinggi dan menjejaskan aliran model kerana Malaysia mempunyai pasaran modal jauh lebih besar berbanding tahun 1998,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal [PN-Machang] meminta kerajaan menyatakan jika Bank Negara Malaysia (BNM) bercadang menambat nilai ringgit seperti yang dilakukan pada 1999. 

Hal itu memandangkan kadar ringgit ketika ini lebih rendah berbanding dolar AS. 

Dalam pada itu, Chee Keong berkata, BNM akan memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur. 

“Kerajaan akan terus mengurus risiko daripada perkembangan domestik dan luaran serta bersedia menggunakan instrumen dasar operasi bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur. 

“Untuk makluman, sistem kewangan dan ekonomi negara berada di kedudukan lebih baik pada masa kini bagi menghadapi turun naik pasaran kewangan global dan pergerakan kadar pertukaran,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya