KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperhalusi terlebih dahulu cadangan untuk menambah kuota minyak masak peket dalam usaha mengatasi kekurangan bekalan bahan mentah itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, hal itu bagi memastikan sebarang penambahan kuota tidak memberi kesan negatif ke atas kedudukan kewangan kerajaan.
Katanya, penambahan kuota berkenaan akan menyebabkan peningkatan kos ke atas pelaksanaan program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).
Selain itu, katanya, kos pelaksanaannya boleh meningkat mendadak selari pergerakan harga minyak sawit mentah (CPO).
“Oleh itu, sebarang cadangan berkenaan perlu diperhalusi bukan sahaja di peringkat KPDN tetapi kementerian berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin [PH-Rasah] mengenai cadangan supaya kuota minyak masak paket bersubsidi yang ketika ini terhad kepada 60,000 tan metrik, ditingkatkan bagi mengatasi kekurangan bekalan dalam kalangan pengguna domestik dan peniaga kecil.
Fuziah berkata, KPDN menggerakkan pelbagai rangka tindakan bertujuan mengelak ketirisan di semua peringkat rantaian bekalan bagi mengatasi isu kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran.
“Kerajaan teruskan dasar melarang semua eksport minyak masak dalam polibeg di bawah Peraturan Kawalan Bekalan Larangan Eksport mulai 1 Ogos 2022 supaya tiada ketirisan bekalan minyak subsidi ke negara jiran.
“Pemantauan minyak subsidi turut dipertingkat melalui Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) yang merakam transaksi jualan minyak masak di pelbagai lapisan peringkat merangkumi kilang penapisan, pembungkusan, pemborong, peruncit ke satu data pusat.
“Melalui sistem ini, pemantauan KPDN bagi penyaluran minyak masak paket bersubsidi di pasaran dapat dibuat secara lebih berkesan,” katanya.-UTUSAN










