KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyelesaikan segera isu kelewatan bayaran balik tuntutan subsidi kepada syarikat pembungkusan minyak masak peket.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kelewatan itu berpunca daripada harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi di pasaran.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kementeriannya perlu membuat permohonan tambahan untuk membayar tuntutan berkenaan.
“Asasnya kenaikan harga MSM di luar jangka. Namun, kerajaan mengakui ada kelewatan dalam pembayaran, tetapi, sebenarnya kenaikan MSM yang keterlaluan ini menjadi punca utama,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar bagi kementerian itu dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Armizan berkata, sebanyak RM500 juta peruntukan asal subsidi tahun ini dibelanja sepenuhnya setakat Februari lalu.
Katanya, KPDN membuat permohonan baharu dan menerima tambahan RM400 juta yang kini dalam proses bayaran balik kepada syarikat pembungkusan.
“Kerajaan juga mengakui kerisauan pengusaha terlibat, insya-Allah dengan ruang fiskal yang mengizinkan, kerajaan akan menyelesaikan tuntutan ini segera,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, kerajaan memperuntukkan RM1.9 bilion bagi melaksanakan program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak Bersubsidi (COSS) tahun ini.
Untuk rekod, kerajaan membelanjakan RM269 juta subsidi minyak masak peket pada 2019 diikuti RM528.2 juta (2020), RM2.19 bilion (2021), RM2.41 bilion (2022) dan RM1.9 bilion pada tahun ini.
Dalam pada itu, katanya, di peringkat KPDN, pelaksanaan kawal selia subsidi hanya ke atas barangan tertentu sahaja seperti minyak masak, RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
“Berbeza dengan minyak masak, bagi petrol dan diesel, KPDN hanya menguruskan kuota pembekalan petrol RON95 dan diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak serta kuota Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor pengangkutan terpilih.
Penetapan kadar subsidi dan peruntukan bagi membayar tuntutan subsidi bagi kuota tersebut adalah di bawah pihak Kementerian Kewangan,” katanya. -UTUSAN










