Parlimen: Hanya 51 kanak-kanak bawah JKM belum ada dokumen

Parlimen: Hanya 51 kanak-kanak di bawah JKM belum peroleh dokumen pengenalan diri

parlimen
AIMAN ATHIRAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 51 kanak-kanak yang berada di bawah institusi seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) belum memperoleh dokumen pengenalan diri setakat Oktober tahun ini. 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, JKM bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam urusan permohonan daftar lewat kelahiran, bagi mendapatkan sijil kelahiran. 

Bagaimanapun, katanya, jika dibanding pada 2022, seramai 2,158 kanak-kanak direkodkan tidak mempunyai dokumen berkenaan.

“Kementerian memberi jaminan akan sentiasa memberi keutamaan membantu kanak-kanak terbabit, terutama memastikan mereka mendapat dokumen sijil kelahiran sebelum tamat perintah di institusi JKM.

“Selain itu, JKM menyediakan 39 institusi kanak-kanak bagi menempatkan 1,365 kanak-kanak yang memerlukan jagaan, perlindungan dan pemulihan,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff [PN-Rantau Panjang] mengenai jumlah kanak-kanak di bawah seliaan institusi kanak-kanak JKM yang masih belum mendapat dokumen pengenalan diri.

Dalam pada itu, Aiman Athirah mendedahkan, setakat Januari hingga Ogos tahun ini, terdapat 156 kanak-kanak terbuang ditempatkan di institusi berkenaan. 

Jelasnya, pekeliling Ketua Pengarah JKM bilangan 1, pada 2022 berkaitan penentuan identiti kanak-kanak terdampar yang dikeluarkan pada 8 September 2022 menjadi garis panduan bagi pengurusan kanak-kanak dalam kategori terbabit.

“Garis panduan ini sebagai pelindung di peringkat JKM dalam mengendalikan kanak-kanak terbuang ini. Ia juga selaras dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam,” katanya. 

Menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat [PH-Pulai] mengenai kesukaran kanak-kanak tanpa dokumen untuk bersekolah, katanya, hak mereka tidak pernah dinafikan. 

“Kanak-kanak tanpa dokumen ini tidak dinafikan untuk bersekolah di negara kita seperti kanak-kanak lain. Biasanya perintah mahkamah digunakan sebagai rujukan untuk mereka bersekolah,” katanya. –UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN