Pan Gon sedar cabaran besar Harimau Malaya

Pan Gon sedar cabaran besar Harimau Malaya

PEMAIN Harimau Malaya perlu lawan yang lebih baik untuk persediaan ke Piala Asia Qatar tahun depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyedari pasukannya berdepan cabaran besar untuk untuk menumbangkan tuan rumah, Taiwan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 malam ini.

Bagaimanapun, jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, dia sudah mempersiapkan pasukan dengan terbaik untuk memastikan Harimau Malaya membawa pulang tiga mata penuh dan meneruskan rentak cemerlang dalam peringkat kelayakan.

Pan Gon berkata, tiga mata dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Perbandaran Taipei itu adalah sangat penting jika Malaysia mahu meneruskan impian layak ke peringkat ketiga kelayakan Piala Dunia sekali gus bersaing dengan 18 pasukan terbaik Asia.

“Saya hadir ke sini sebagai wakil Malaysia dan kami mempunyai impian. Saya juga tahu masing-masing mempunyai sasaran yang sama untuk layak ke peringkat ketiga tetapi pasukan kami lebih bersemangat untuk menang dan mencapai sasaran itu berbanding mereka.

“Jika kami gagal tewaskan Taiwan, kami tidak layak untuk ke peringkat seterusnya. Saya tahu rekod mereka baik di sini dan dengan kehadiran pengendali baharu mereka lebih tersusun dan ini berikan tekanan besar buat kami kerana kami perlukan tiga mata.

“Taiwan juga sekarang lebih baik dengan kehadiran pemain naturalisasi dan juga yang bermain di China. Mereka ada fizikal yang baik tetapi kami sudah mempunyai semua analisis tentang pasukan ini dan akan gunakannya dan harap dapat bantu beri tiga mata,” jelasnya.

Menurut Pan Gon, dia tahu tentang sejarah membabitkan kedua-dua pasukan dengan Taiwan memiliki kelebihan di gelanggang sendiri, namun dia tidak mengambil kisah tentang perkara itu dan mahu anak buahnya mencipta sejarah baharu.

“Sejarah adalah sejarah tetapi kami kini memiliki pasukan baharu, jurulatih baharu dan perlawanan yang baharu. Kami hormat pasukan Taiwan dan juga sejarah tetapi ini adalah masanya untuk kami cipta sejarah baharu kerana kami mempunyai impian untuk ke pusingan ketiga.

“Selepas mendapat keputusan yang baik di tempat sendiri, bagi kami perlawanan menentang Taiwan ini adalah perlawanan paling getir buat kami kerana rekod Malaysia di sini tidak begitu baik dan Mereka juga semakin baik dan kuat di tempat sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Pan Gon juga melihat para pemainnya lebih selesa bermain dalam keadaan cuaca yang sedikit sejuk berbanding di tanah air dan menjanjikan perlawanan yang menarik untuk para penyokong selain berhasrat untuk catat kemenangan dengan ‘clean sheet’.

“Cuaca yang berlainan dengan lebih sejuk tetapi ianya lebih baik dari cuaca panas yang lembab dan hujan. Keadaan begini boleh bantu pemain berikan aksi lebih baik dan saya pasti perlawanan yang menarik akan berlangsung esok.

“Saya sukakan ‘clean sheet’ kerana kami bolos banyak gol sebelum ini dan ia sesuatu yang tidak baik dan jika diberikan pilihan, saya gembira jika dapat menang 2-0, 3-0 atau 4-0,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.