Dr. Raja Rajeswari kagum nilai estetika sastera Melayu

Dr. Raja Rajeswari kagum nilai estetika sastera Melayu

DR. Raja Rajeswari Seetha Raman bersama beberaoa karya sastera Melayu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam era digitalisasi ketika sastera dan persuratan makin dijauhi terutama dalam kalangan generasi muda, masih ada insan yang sanggup bersusah payah mencapai aspirasi mengkaji dan mendalami sastera Melayu.
Justifikasinya mudah, sastera Melayu memiliki nilai- nilai estetika yang tinggi, mewah dengan nilai-nilai kesantunan dan bahasanya yang halus memupuk semangat jati diri dan patriotisme akan pertiwi.

Bahasa Melayu sarat daya penarik, kaya dengan nilai insaniah, seni dan kearifan tempatan.

Peminat sastera Melayu pasti bersetuju dengan nilai estetikanya yang tinggi, metafora, kiasan dan perlambangan daripada elemen alam sungguh indah meski pun dalam nada menyindir, meluahkan kemarahan dengan penuh sopan melalui tingkah bahasa berkias, ibarat dan tersirat.

Nilai- nilai seni dalam bahasa tersirat yang mendorong Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman untuk mendalami bahasa dan sastera Melayu.

Penglibatannya bukan setakat berkarya dalam sastera Melayu seperti mencipta sajak, mengkritik puisi, mendeklamasikan puisi, menterjemahkan puisi, menyumbang esei dan artikel sastera serta membentangkan kajian sastera, malah beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Ijazah Sarjana Sastera daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan seterusnya menyambung pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD.) dalam bidang

Kesusasteraan Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Beliau jatuh cinta akan bahasa dan sastera Melayu yang sarat nilai-nilai kolektif, memiliki intelektualiti, seni dan tradisi selepas membuat perbandingan dengan kesusasteraan Inggeris apabila mengkaji dan menterjemahkan kedua-dua bahasa.

Perbezaan antara kedua-dua bahasa amat ketara dan boleh ditemukan dalam simbol dan perlambangan puisi.

Namun untuk sampai ke tahap tersebut bukan mudah kerana cabarannya berliku. Ini bermakna minat sahaja tidak memadai untuk menggapai kecemerlangan dalam persuratan kebangsaan.

Malah beliau pernah menunggu selama tujuh hari berturut-turut di hadapan bilik seorang ketua jabatan semata-mata untuk memohon persetujuan dan kebenaran untuk menukarkan jurusannya daripada Pengajian Inggeris kepada Pengajian Melayu.

Dr. Raja Rajeswari, anak kelahiran Kuala Kurau, Perak memperoleh PhD. dalam bidang Kesusasteraan Melayu daripada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Diploma Penterjemahan Profesional (Kepujian) daripada

Persatuan Penterjemah Malaysia-DBP dan Sijil Perguruan Ikhtisas (Pengajian Inggeris) daripada Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.

Pada tahun 1985, sejarah hidupnya berubah apabila berjaya bertukar aliran daripada Pengajian Inggeris kepada Pengajian Melayu kerana minat beliau yang mendalam dalam genre kreatif dan deskriptif sastera Melayu.

“Oleh sebab minat mendalam akan sastera Melayu saya telah membaca berulang-kali naskhah malar segar Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin),” ujarnya.

Mendiang ibu dan bapa beliau yang pernah berkhidmat sebagai pendidik antara pencetus minat secara tidak langsung dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.

Mendiang bapanya seorang Guru Besar dan guru Matematik manakala mendiang ibunya guru bahasa Tamil.

“Di sekolah kami didedahkan dengan teks sastera yang lebih berat di sekolah rendah, dan menengah, dan itu yang menyebabkan saya tertarik dengan kehalusan bahasa Melayu dan ingin mendalaminya.

“Cara menegur dalam bahasa Melayu berbeza. Halus, santun dan berkias dengan tidak menyinggung perasaan sesiapa . Ada mesej tersirat di sebalik yang tersurat berbanding dengan karya Inggeris yang lebih bersifat terus terang dan individualistik,” ujarnya.

Faktor kedua adalah metafora dalam bahasa Melayu yang memancarkan pemikiran pemerhatian, pengamatan, renungan dan penghayatan yang tinggi seperti yang tercermin dalam rangkap pantun.

Puisi beliau “Tawarikh Terindah” menjadi Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan ke-38, 2024 anjuran Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dan Juara Ambang Merdeka Parlimen Lenggong, Negeri Perak Darul Ridzuan (2024).

Puisinya berjudul “Seni Jarum” dijadikan lagu puisi oleh Sani Sudin daripada Kopratasa dan puisi “Kekasih”, “Asrar Kamar Hijau Sebuah” dan “Nasib Wanita“ dijadikan lagu puisi oleh Allahyarham Yuzailan Yunus. Puisi terjemahannya boleh dibaca dalam laman sesawang www.point-editions.com. dan blog Poetry Bridges di Poland. www.poetrybridges.com.pl.

Sebagai pengkaji beliau telah membentangkan kertas kerjanya untuk Kajian Kesusasteraan Melayu Moden (2000- 2019), Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Kemala, Baha Zain, Zurinah Hassan, Siti Zainon Ismail dan  Rahman Shaari di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), terlibat dalam Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS), seminar sastera anjuran Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Persatuan Penulis Nasional (PENA), GAPENA, UPM, Universiti Pendidikan S ultan Idris (UPSI), Kolej Universiti New Era dan di Dhaka, Nicaragua, India, Indonesia dan Thailand.

Antara hadiah dan anugerah yang pernah diterima termasuklah Anugerah Penyair Alam Siber Tahun (2003,2004), Hadiah Pertama Sayembara Menulis Puisi Ramadan anjuran esastera.com (2004), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2006­/­­2007),Hadiah Sastera Darul Ridzuan (2016, 2018, 2022, 2024), Anugerah Citra Sahabat DBP (2016), Anugerah Srikandi NUMERA (2018), Anugerah Ekologi Nicaragua (2018), Anugerah Mewadev Laurel India (2018), Anugerah Suryodaya Literary Foundation Excellence Award, India (2020), Anugerah Gujerat Sahitya Academy-MS (2021), Kavya Kaumudi International Poetry Contest First Position (2021), Anugerah The Peacock Opinion Gujerat Sahitya Academy-MS India (2022) dan Anugerah Poet of International Merit daripada Bangladesh (2022).

Dalam bidang penterjemahan, beliau juga menunjukkan pencapaian menakjubkan apabila puisinya telah diterjemahkan ke dalam 41 bahasa dunia.

Kumpulan puisinya Mekar Bunga (2006), Bahasa Yang Sama (2018) dan Wind of Hope (2023). Wind of Hope telah diterjemahkan ke dalam bahasa Odia (2025). Buku Pedagogi Strategi Pedagogi Inovatif Bahasa Malaysia:

Pengintegrasian Peta Pemikiran (2013) dan Cerdas Linus (2015) dterbitkan oleh Jabatan Bahasa Melayu. Buku terjemahannya termasuklah Diari Abadi (2016), 6 Penyair Bangladesh (2016), Voices of Humanity (2023), Metamorfosis (2025) dan Samurai I am Looking, Ten Nights in Nagoya (2025).

Beliau sudah bersara dengan jawatan terakhirnya di Jabatan Bahasa Melayu, IPG Kampus Bahasa Melayu sebagai tenaga pengajar Kursus Bahasa Melayu dalam Kursus Terjemahan.

Kini beliau adalah pensyarah, penyelidik, penterjemah dan penulis bebas. Beliau sedang menyiapkan Kumpulan Puisi Persendirian dalam bahasa Melayu, buku terjemahan puisi penyair dunia daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu dan autobiografinya dalam bahasa Melayu.

“Setakat ini saya sudah menghasilkan lebih daripada 500 buah puisi yang dimuatkan dalam pelbagai antologi bersama-sama penyair lain serta tiga atau empat buah cerpen,” ujarnya,

Beliau mendapat bimbingan daripada Allahyarhum Dharmawijaya dan Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) serta SN. Datuk Rahman Shaari dan penyair tersohor Abdul Ghafar Ibrahim dalam mendeklamasikan puisi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×