SHAH ALAM : Membawakan lagu berjudul Macarena dan Perhaps, Perhaps,Perhaps, peserta All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Nikki Palikat dikritik tidak cukup seksi sebagaimana penyanyi Latin.
Komen tersebut dilontarkan oleh juri tetap, Maestro terkemuka tanah air, Datuk Ramli MS semasa program tersebut bersiaran langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam ( MBSA), di sini, malam tadi.
Menurut Ramli atau Tok Ram, nyanyian Nikki tidak mempunyai masalah namun dari segi lenggok nyanyian dan ekspresi, baginya kurang elemen seksi.
“Persembahan kamu okey. Tetapi apa yang harus kamu fahami ialah, lagu seperti ini kena ada pergerakan yang seksi. Kena seksi sikit Nikki.
“Ini kerana orang Latin dan irama lagu-lagu ya banyak yang romantik,”katanyq.
Komen yang dibuat Tok Ram itu bagaimanapun disangkal oleh rakan juri tetapnya, Datuk Syafinaz Selamat, yang mengandaikan perkara itu mustahil dilakukan di pentas program di negara ini.
“Seksi? Ini rancangan Malaysia, tak boleh lebih-lebih,”katanya berseloroh.
Selain itu, tambah Syafinaz, dia menyukai susunan lagu dan persembahan Nikki yang disifatkan menarik.
“Transisi lagu ke lagu yang disusun bagi saya menarik. Saya juga suka dengan subtikan lagu Sway di dalam persembahan awak.
“Bagi saya ia sesuai. Cuma bila masuk lagu Macarena itu tempo macam ada lari sikit,”katanya.
All Stars Gegar Vaganza dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Manakala juri tetap pula adalah Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
All Stars Gegar Vaganza bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, setiap Ahad, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (Saluran 104).-UTUSAN