SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan parti tahun hadapan bagi memberi laluan kepada kepemimpinan baharu.
Pengumuman itu dibuatnya dalam ucapan dasar beliau pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2023 di sini yang memberi bayangan akan mengakhiri karier politiknya bagi penggal Parlimen kali ini.
Menurutnya, pengumuman tersebut dibuat bagi membolehkan beliau mewariskan kepemimpinan parti kepada barisan baharu yang disifatkan sebagai sudah tiba masanya.
“Maka, pada hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya ingin mengumumkan bahawa masa untuk saya mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baharu telah pun tiba.
“Untuk itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan yang tarikhnya akan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.
“Ini adalah perhimpunan agung kali terakhir saya berdiri di pentas ini sebagai Presiden parti. Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan.
“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya dalam ucapan dasar Presiden, semalam.

Bekas Perdana Menteri itu turut mencadangkan supaya kepemimpinan parti berbincang berkenaan pemilihan dan penentuan penyandang kerusi pada pemilihan nanti untuk mengelakkan ahli berpecah.
“Dalam proses ini, sayugia saya ingin mencadangkan supaya barisan kepimpinan kanan parti bermusyawarah terlebih dahulu untuk memastikan tokoh-tokoh yang berpengalaman luas yang ada bersama kita pada hari ini mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepimpinan parti yang baharu nanti.
“Ini penting supaya kekuatan yang ada pada parti dapat kita gembleng dengan lebih jitu lagi pada masa hadapan.
“Saya berdoa mudah-mudahan dengan kesatuan hati dan semangat setiakawan yang tinggi dalam kalangan barisan kepimpinan dan ahli-ahli Bersatu, proses peralihan kepimpinan parti akan berlangsung dengan penuh tertib dan harmoni.
“Junjunglah perlembagaan parti. Elakkan perpecahan. Utamakan perpaduan supaya parti kita dapat bangkit dengan lebih gagah dan sakti lagi selepas ini,” ujarnya.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh merupakan Presiden pertama Bersatu sejak ditubuhkan pada 2016 bersama pemimpin lain termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas dipecat daripada UMNO. – UTUSAN










