‘Mr. H’ sudah dirakam percakapan hari ini

‘Mr. H’ sudah dirakam percakapan hari ini

agus
Mohammad Agus Yusoff (kiri) dan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesahkan individu yang dikenali sebagai ‘Mr. H’ berkait dengan siasatan kes video perbualan mirip bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff diambil keterangan hari ini. 

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain tidak mendedahkan butiran masa dan lokasi proses tersebut berlangsung. 

“Mr. H telah dirakam percakapannya pagi tadi. Selain itu, Mohammad Agus dan dua lagi individu turut dirakam percakapan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C sempena sambutan Bulan Integriti 2023 di Maktab PDRM, Cheras di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Razarudin berkata, pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani belum membuat sebarang laporan polis berkaitan kes itu

Beliau turut menggesa individu berkenaan tampil bagi membantu siasatan kes video terbabit.

Isnin lalu, Mohammad Agus tampil di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang bagi memberi keterangan berhubung kes video perbualan mirip dirinya dengan seorang kakitangan J-KOM.

Sebelum ini, tular dalam media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.

Bagaimanapun, Mohammad Agus mendakwa video itu disunting dan telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, berhubung kes ganggual seksual, Razarudin berkata, pihaknya telah selesai merakam percakapan seorang individu dipercayai pegawai kanan sebuah agensi penguatkuasaan dan pengadu.

Katanya, terdapat dua hingga tiga saksi lagi akan dipanggil untuk dirakam percakapan berkaitan kes tersebut. 

Kelmarin, Razarudin mengesahkan pihaknya membuka siasatan berhubung dakwaan itu di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana kesalahan gangguan seksual, Seksyen 292 (kesalahan memiliki bahan lucah) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Keci 1955.

Siasatan tersebut ekoran tular laporan polis dibuat di Shah Alam, Selangor oleh seorang wanita berusia 39 tahun pada 14 November lalu dikatakan penasihat kewangan kepada lelaki bergelar Datuk dipercayai ketua pengarah sebuah agensi keselamatan yang mendakwa diganggu secara seksual.

Dalam laporan itu, kejadian didakwa berlaku mangsa mendakwa pernah bertemu dengan lelaki tersebut sekali pada November tahun lalu. 

Lelaki itu didakwa turut menghantar mesej dengan mengajak keluar ke pusat karaoke dan hotel namun tidak diendahkan mangsa. 

Bagaimanapun, laporan itu mendakwa mangsa mula menerima mesej dan 10 video serta gambar berbaur lucah sejak Ogos lalu.

Justeru, mangsa membuat laporan pada 14 November lalu kerana berasakan dirinya diganggu secara seksual serta trauma selain menerima ancaman ugutan daripada lelaki berkenaan agar tidak melaporkan kepada sesiapa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN