Bilionair bantu rakyat Thailand tangani kenaikan kos sara hidup - Utusan Malaysia

Bilionair bantu rakyat Thailand tangani kenaikan kos sara hidup

PERANG Iran telah menyebabkan kenaikan harga bahan api di Thailand. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand kini beralih kepada konglomerat diterajui golongan bilionair bagi membantu membendung kenaikan kos sara hidup yang menyerlahkan tekanan inflasi dan peranan besar perniagaan gergasi dalam ekonomi negara itu.

Sejumlah peruncit utama termasuk yang dikawal oleh taikun Charoen Sirivadhanabhakdi dan keluarga Chearavanont serta Chirathivat telah bersetuju untuk melancarkan barangan jenama sendiri untuk dijual kepada pengguna.

Barangan itu seperti makanan, barangan dandanan diri dan keperluan asas lain diberikan diskaun antara 25 peratus hingga 50 peratus. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program tajaan kerajaan yang dinamakan ‘Thais Helping Thais’ atau ‘Rakyat Thai Membantu Penduduk Thai.’

Antara syarikat yang menyertai program kawalan harga ini termasuk CP All dan CP Axtra yang dikawal oleh bilionair Dhanin Chearavanont, lapor Bloomberg.

Syarikat  Central Retail Corp kendalian keluarga Chirathivat dan firma Berli Jucker milik Charoen menyertai kempen kerajaan itu,. 

Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, yang partinya memenangi pilihan raya Februari lalu dengan janji untuk meringankan kos sara hidup, melancarkan program tersebut secara rasmi pada 1 April.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kerajaan beliau berusaha melindungi isi rumah daripada kenaikan harga sambil mengekalkan kedudukan kewangan awam yang sudah pun tertekan. 

“Ini adalah langkah penting dalam kerjasama antara sektor awam dan swasta. Apa yang pasti akan berlaku ialah pengguna akan dapat menjimatkan wang mereka,” kata Anutin di Bangkok. 

Walaupun kerajaan mengekalkan kawalan harga ke atas berpuluh-puluh barangan keperluan, kenaikan kos tenaga dan pengeluaran telah pun melonjakkan harga barangan ruji seperti daging babi dan telur. 

Isi rumah juga bergelut dengan kos bahan api yang lebih tinggi, sehingga menghimpit pendapatan ketika pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan ekoran kelemahan sektor pelancongan dan eksport selaras dengan permintaan global. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN