BINTULU: Campur tangan Kerajaan Negeri Sarawak terhadap produk yang dihasil dan dipasarkan peniaga tempatan di bandar raya negeri ini diperlukan dalam usaha mengurangkan saingan produk dari luar.
Ditemui Utusan Malaysia di Pasar Tamu Bintulu di sini, seorang peniaga, Sunah Kiai berkata, hasil pendapatannya tidak lumayan ekoran saingan produk dari luar negeri ini dibawa masuk ke bandar raya ini.
“Sudah 20 lebih tahun saya berniaga di pasar ini. Dulunya saya menjual produk anyaman dan hasil tani seperti buah dan sayur-sayuran.
“Namun tidak mendapat sambutan dari penduduk sekitar mahupun pengunjung luar. Maka saya beralih kepada produk jualan makanan kering seperti belacan Bintulu, ikan terubuk masin dan lain-lain produk kering,” katanya.
Justeru, Sunah berharap Kerajaan Negeri Sarawak terutama calon-calon yang bertanding dan dipilih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak kelak memberi penyelesaian kepada masalah peniaga yang dihadapi.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS, Iskandar Turkee; calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Chieng Lea Phing pada 4 November ini.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Tahil Sapiee berkata, situasi itu perlu diberi perhatian agar generasi akan datang dapat mengenali produk asli tempatan masing-masing.
“Generasi baharu perlu didedahkan kepada produk negeri tempatan agar ia tidak pupus. Bukan hanya mengekalkan penghasilan untuk diwarisi tetapi pentingnya mengekalkan identiti produk tempatan itu.
“Tidak mustahil produk luar mampu meraih jualan yang lebih lumayan disebabkan tiada kawalan selia produk masuk ke pasaran tempatan, sekali gus ini mengurangkan kepekaan dan kesedaran generasi baru mengenali produk asli Sarawak,” katanya. – UTUSAN











