PETALING JAYA: Kenyataan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin yang membidas bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony sebelum ini disifatkan umpama cacing kepanasan.
Ketua Penerangan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Dr. Oswald Aisat Igau berkata, ini kerana Pandikar Amin tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan Peter berhubung kritikan yang dibuat olehnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Malah katanya, kenyataan Pandikar Amin itu juga dilihat terpesong daripada topik utama yang disuarakan Peter dan hanya bersifat menghentam secara peribadi semata-mata.
“Pandikar mendakwa jalan di Sabah berlubang, masalah air dan masalah elektrik. Tetapi Peter hanya menegur beliau kenapa baru sekarang dia bersuara sedangkan sebelum ini sudah berpuluh tahun berada dalam kerajaan.
“Anthony cuma tekankan beri peluang kepada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Sebelum ini tular video Pandikar Amin yang mengkritik kepemimpinan Anwar dan meminta beliau menyelesaikan segera isu di Sabah.
Dalam pada itu, Oswald turut menyangkal dakwaan Pandikar Amin yang kononnya KDM mempunyai wakil rakyat daripada GRS iaitu Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda.
“Perlu diingat, Wetrom bukan daripada GRS, gabungan itu hanya berdaftar pada 2022 sedangkan Wetrom sudah menjadi wakil rakyat sejak 2020.
“Beginilah kalau sudah seperti ‘cacing kepanasan’, bercakap pun main hentam saja, jangan pula lupa isu ‘kambing makan pasir’, dia (Pandikar) ini jugalah yang tampil membuat kenyataan untuk mengambil tindakan terhadap pegawai kerajaan yang membongkarkan isu berkenaan, ini juga kenyataan seperti ‘cacing kepanasan’,” katanya.
Sementara itu, Oswald turut menyangkal kenyataan Pandikar Amin yang mengatakan KDM belum teruji ‘kejantanannya’ dalam pentas politik.
“Mungkin Pandikar Amin lupa, KDM telah menumbangkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu,” jelasnya. – UTUSAN











