Menantu Muhyiddin: Polis tunggu respons Interpol - Utusan Malaysia

Menantu Muhyiddin: Polis tunggu respons Interpol

RAZARUDDIN HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih me­nunggu maklum balas daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berkaitan permohonan notis merah terhadap Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini permohonan tersebut masih dalam penelitian pihak Interpol selepas diserahkan kepada ibu pejabat agensi itu di Lyon, Perancis, bulan lalu.

“Sehingga kini kita belum menerima sebarang jawapan daripada Interpol.

“Saya dimaklumkan mereka (Interpol) sedang meneliti permohonan itu. Justeru, kita masih menunggu maklum balas mereka bagi membolehkan notis merah dikeluarkan kepada dua individu termasuk Muhammad Adlan,” katanya di sini semalam.

Pada Ogos lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, Muhammad Adlan, 48, dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Sebelum ini, hasil semakan dengan Jabatan imigresen mendapati kedua-dua individu terbabit meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 dan 21 Mei lalu, dan tiada rekod kembali ke negara ini.

Susulan itu, SPRM mendapatkan bantuan PDRM bagi memohon permohonan notis merah kepada Interpol bagi mengesan lokasi keberadaan kedua-dua mereka.

September lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya diminta melengkapkan maklumat yang diperlukan Interpol menye­rahkan semula permohonan untuk notis merah boleh dikeluarkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN