Melaka tingkat kawalan keselamatan siber

Melaka tingkat kawalan keselamatan siber

AB. RAUF Yusoh (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman (tiga dari kanan) pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri telah mewujudkan tadbir urus keselamatan siber di pelbagai peringkat jabatan dan agensi bagi menangani ancaman keselamatan siber, susulan amaran dikeluarkan Pusat Koordinasi dan Perintah Siber Kebangsaan (NC4), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), bulan lalu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, setakat ini sebanyak 15 jabatan kerajaan negeri, empat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lapan badan berkanun negeri telah berbuat demikian.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius amaran tersebut kerana ia melibatkan keselamatan negeri.

“NC4 telah memberi amaran pada 27 Oktober lepas kepada semua jabatan kerajaan terhadap peningkatan aktiviti siber yang menyasarkan domain dan infrastruktur di negara ini.

“Bagi memperkukuh aspek keselamatan siber di peringkat negeri setiap jabatan kerajaan negeri, PBT dan badan berkanun negeri perlu memperkasa tadbir urus keselamatan siber di peringkat jabatan dan agensi dengan melantik ketua pegawai digital, pegawai keselamatan ICT dan pasukan tindak balas komputer (CIRT).

“Justeru, saya minta Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) dan Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (Mitch) terus memastikan segala aset dan kawalan pusat data kerajaan kekal dalam keadaan selamat serta kawalan keselamatan siber berada dalam keadaan paling optimum,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, semalam.

Sementara itu, mengenai Sambutan Bulan Integriti Peringkat Negeri, Ab. Rauf berkata, setiap warga kerja perlu melafazkan ikrar integriti di hadapan ketua jabatan masing-masing semasa sambutan di peringkat jabatan.

Tegasnya, penjawat awam di bawah pentadbirannya dilarang sama sekali melindungi sesiapa sahaja yang didapati melanggar integriti.

“Suka saya tegaskan penjawat awam tidak dibenarkan berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat dengan perbuatan rasuah, salah guna kuasa serta melanggar atau mengetepikan peraturan dalam tatacara pengurusan, prosedur kerja dan pentadbiran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN