PETALING JAYA: Prestasi kebersihan persekitaran dan proses pengendalian makanan di Dewan Selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan adalah baik serta mematuhi standard ditetapkan.
Hal ini berikutan penularan kes kebersihan penyediaan makanan membabitkan beberapa pelajar MRSM Kuala Klawang yang didakwa dihidangkan dengan telur sudah rosak.
Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius perkara itu dan tindakan segera telah diambil.
“Pihak pengurusan MRSM menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi menjalankan siasatan segera ke atas Dewan Selera tersebut.
“Pemeriksaan rapi oleh PKD telah dijalankan dan prestasi kebersihan persekitaran adalah baik serta proses pengendalian makanan juga mematuhi standard yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam Utusan Online melaporkan, seorang ibu kesal apabila anaknya yang merupakan pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negeri ini didakwanya telah dihidangkan dengan telur yang sudah rosak.
Menerusi hantaran di Facebook wanita terbabit, Amira Alia Faizul berkata, hidangan telur kepada pelajar MRSM Kuala Klawang oleh pengusaha dewan selera sekolah itu juga dakwanya telah menyebabkan ramai pelajar mengalami sakit perut dan cirit birit.
Kejadian itu turut mendapat perhatian Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang telah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara untuk menyiasat kejadian tersebut dan mengambil tindakan tegas bagi memastikan kes berkenaan tidak berulang.
Menurut kenyataan itu lagi, lanjutan daripada pemerhatian tersebut, PKD dan pihak pengurusan MRSM telah memberi beberapa teguran ke atas pengusaha Dewan Selera.
Dalam pada itu, pemantauan ke atas pelajar juga telah dilaksanakan dan setakat ini tiada pelajar terlibat dengan gejala keracunan makanan seperti yang didakwa.
Katanya, Mara sentiasa memberikan keutamaan dalam memastikan perkhidmatan yang dibekalkan oleh pembekal makanan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam penyediaan makanan untuk para pelajar.
Mara turut meminta ibu bapa tidak bimbang dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Mara sentiasa prihatin dengan kebajikan dan keselamatan seluruh pelajar di Institusi Pendidikan Mara (Ipma ) termasuk MRSM dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perkara seumpama itu berlaku mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN