MANCHESTER: Manchester United bersedia menjual Raphael Varane dengan harga bidaan tertinggi pada musim panas akan datang bagi mengurangkan bebanan bayaran gaji kelab itu.
Kelab-kelab Arab Saudi menjadi sasaran utama United untuk menjual bintang Perancis tersebut.
Varane yang bakal berusia 31 tahun pada April depan adalah pemain menerima gaji paling tinggi di United iaitu 340,000 pound (RM1.98 juta) seminggu dan kelab boleh menjimatkan 30 juta pound (RM175 juta) jika mendapat bidaan menarik.
Pertahanan Perancis itu semakin tersisih di Old Trafford kerana gagal mendapat tempat dalam barisan kesebelasan.
Jika musim lalu Varane menjadi pilihan utama Erik Ten Hag, namun tempatnya kembali dirampas Harry Maguire yang mempamerkan kebangkitan prestasi musim ini.
United menandatangani Varane dari Real Madrid dengan harga 41 juta pound (RM239 juta) pada 2021 dengan kontrak empat tahun.
Dia membantu mereka menjuarai Piala Liga musim lalu dan layak ke Liga Juara-Juara tetapi kerap mengalami kecederaan musim ini sekali gus menyebabkan prestasinya merosot.
Ten Hag juga mahu menandatangani pertahanan tengah yang baharu musim depan dan sedia membenarkan Varane meninggalkan Old Trafford susulan sejarah kecederaan dialami pemain itu.
Dalam perkembangan lain, United berisiko tercicir daripada saingan Eropah musim depan selepas Jim Ratcliffe, yang turut memiliki Nice, mengambil alih kelab Old Trafford itu.
Ratcliffe dan syarikatnya, Ineos sudah memiliki Nice dan bakal menyempurnakan pembelian 25 peratus saham United beberapa hari lagi.
Menjelang Liga Juara-Juara Eropah musim depan, liga tertinggi Perancis diberikan tiga slot automatik dan satu play-off manakala Liga Perdana Inggeris mendapat lima slot automatik.
Di bawah peraturan pemilikan beberapa kelab Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), satu-satunya cara untuk Nice dan United beraksi di pentas Eropah musim depan ialah dengan salah sebuah kelab layak secara automatik ke Liga Juara-Juara Eropah dan satu lagi untuk Liga Konferens Eropah. – AGENSI/UTUSAN