BUKIT KAYU HITAM: Rancangan Thailand untuk membina pelabuhan dan jambatan darat yang bakal memendekkan perjalanan kargo hingga tidak perlu melalui Selat Melaka turut memberi faedah kepada negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakan sejawatnya, Srettha Thavisin sendiri memberi komitmen untuk turut melibatkan Malaysia dalam projek berkenaan.
Projek melibatkan laluan sejauh 90 kilometer itu dijangka dapat memendekkan perjalanan menerusi laut selama empat hari dan kos dijimatkan sehingga 15 peratus antara Teluk Siam dan Laut Andaman.
Projek mega itu sudah lama tergendala sejak dicetuskan Raja Narai pada 1677 dan apabila siap, ia bakal mengurangkan kesesakan trafik ribuan kapal di Selat Melaka.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan masih terlalu awal bagi Malaysia membincangkan perkara itu termasuk membuat keputusan terlibat secara langsung dalam projek yang melibatkan pembinaan pelabuhan baharu Ranong di barat dan Chumphon di timur negara itu.
“Jambatan darat masih di peringkat awal, dalam perbincangan itu memang akan melibatkan Malaysia dan beri manfaat kepada kita terutama negeri-negeri utara Semenanjung, bagi kita ada faedah untuk kita manfaatkan kemudahan di situ.
“Cuma secara terperinci sama ada kita menyertai atau ada ekuiti itu terlalu awal untuk dibincangkan tetapi semangat yang dibincangkan antara Srettha dengan saya adalah beliau akan memastikan Malaysia bakal menerima manfaat dan terlibat dalam projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja sehari untuk membincangkan isu berkaitan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand di sini, semalam.
Anwar dan Srettha turut mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao dan tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco baru-baru ini, Srettha membangkitkan semula idea projek itu yang melibatkan kos RM131 bilion menerusi pembinaan pelabuhan baharu Ranong di barat dan Chumphon di timur yang akan dihubungkan melalui landasan kereta api atau jalan raya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau melihat sikap positif Srettha dalam menyelesaikan perkara-perkara berbangkit agar keputusan segera yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dapat dicapai.
“Phuket umpamanya dapat manfaat sangat baik dalam pelancongan dan beliau arah Menteri Pelancongan Thailand untuk agih manfaat itu kepada Langkawi agar ada sinergi antara dua negara. Sikap itu jarang berlaku dalam perhubungan dua negara, malah dalam beberapa perjumpaan di Putrajaya, San Francisco dan New York beliau konsisten.
“Mereka dapat manfaat pelancongan mereka tetap ingat kita,” ujarnya. – UTUSAN










