Malaysia dan Kanada bincang kaedah perkukuh perdagangan, pelaburan dua hala 

Malaysia dan Kanada bincang kaedah perkukuh perdagangan, pelaburan dua hala 

ANWAR Ibrahim bertemu Justin Trudeau bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama pelaburan dan perdagangan dua hala di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat (AS). - GAMBAR FACEBOOK ANWAR IBRAHIM 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Kanada, Justin Trudeau, membincangkan kaedah memperkukuh perdagangan serta pelaburan dua hala antara kedua-dua negara di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat (AS). 

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan atas permintaan Kanada itu turut tertumpu kepada kerjasama dalam aspek keselamatan siber, pendidikan, tenaga dan perubahan iklim.

“Kami mengalu-alukan perjanjian perisian dan perkhidmatan jangka panjang antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Blackberry untuk mengukuhkan kedudukan keselamatan siber negara,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini. 

Kata Anwar, mereka sempat bertukar-tukar pandangan berhubung isu Palestin, yang mana Trudeau memaklumkan terdapat keperluan untuk melindungi rakyat dan menangani krisis kemanusiaan itu.

“Saya menegaskan terdapat keperluan untuk menangani punca konflik itu dan menamatkan penjajahan Israel selain menekankan bahawa Israel telah melakukan pelbagai kekejaman terhadap rakyat Palestin sejak beberapa dekad lepas tanpa dikenakan hukuman dan terus membina dan meluaskan penempatan haram.

“Kami bersetuju bahawa konflik pada masa ini perlu dijadikan peringatan kepada komuniti antarabangsa mengenai keperluan untuk menamatkan penjajahan Israel dan menghentikan kezaliman ke atas warga Palestin,” katanya. 

Katanya, beliau turut mengambil peluang itu untuk membangkitkan isu visa dengan Kanada berikutan pelancong Malaysia perlu mendapatkan visa Kanada dengan tempoh menunggu antara empat dan enam bulan, manakala Malaysia memberi visa ketibaan kepada pelancong Kanada.

“Semoga hubungan Malaysia dan Kanada akan terus berkembang pada masa akan datang, Insya-Allah,” katanya. 

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, kata Anwar, beliau sekali lagi membangkitkan di hadapan Presiden, Joseph Biden mengenai prinsip keadilan dan hak asasi manusia pada sesi kedua Pemukiman Pemimpin Ekonomi APEC di Moscone Centre, hari ini.   

Katanya, adalah penting untuk menegakkan prinsip tersebut termasuk dalam isu perdagangan global dan pertumbuhan ekonomi. 

“Saya menegaskan keperluan untuk semua negara mendesak genjatan senjata di Gaza supaya tiada lagi orang awam yang terkorban terutamanya bayi-bayi kecil. 

“Amerika Syarikat harus bersikap adil dan tidak harus bersikap berkecuali apabila berbincang mengenai konflik di Gaza,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya