KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menulis surat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi memohon sokongan untuk menganjurkan satu pertemuan antara ASEAN dan Amerika Syarikat.
Anwar berkata, langkah tersebut selaras dengan perbincangan yang telah diadakan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Langkawi awal tahun ini.
Beliau menegaskan perkara itu dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Kuala Lumpur, semalam.
“Saya telah mengambil inisiatif untuk menulis (surat) kepada Presiden Donald Trump bagi memohon kefahaman dan sokongan beliau dalam menganjurkan pertemuan antara Amerika Syarikat dan ASEAN, yang mencerminkan komitmen serius kita terhadap prinsip kepimpinan berpusat.
“Langkah ini bukan sahaja mencerminkan aspirasi, tetapi juga tanggungjawab kita. Ia berteraskan keyakinan bahawa masa depan ASEAN mesti dibina di atas dua tunjang iaitu pertumbuhan saksama dan mampan serta ketahanan yang berkekalan,” katanya.
Anwar dalam masa yang sama turut menjelaskan, walaupun negara-negara anggota telah mengadakan perbincangan dua hala dengan AS mengenai perkara itu (tarif), namun wujud persetujuan sebulat suara dalam kalangan pemimpin ASEAN untuk mengekalkan konsensus serantau.
Sebelum ini, Trump mengumumkan ‘tarif timbal balik’ yang turut menyasarkan import dari negara ASEAN dengan Kemboja, Laos dan Vietnam menjadi negara yang paling terkesan apabila dikenakan tarif tertinggi.
Malaysia pula dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, manakala Singapura menerima kadar terendah iaitu 10 peratus.
Bermula 9 April, Amerika Syarikat mengenakan tarif yang lebih tinggi pada kadar “separuh” daripada jumlah tarif yang dikenakan oleh negara-negara lain terhadap eksportnya.
Para menteri ekonomi ASEAN bersetuju untuk tidak bertindak balas, sebaliknya mengadakan dialog “terbuka dan membina” bersama AS bagi menyelesaikan isu berkaitan perdagangan.
Sebelum pengumuman Trump itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dilaporkan telah mengadakan pertemuan bagi menetapkan tarikh Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS. – UTUSAN










