PETALING JAYA: Malaysia dan China akan terus menjalin kerjasama bagi mencari penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kedua-dua pihak menyuarakan kebimbangan tentang situasi semasa yang berlaku di Palestin.
“Malaysia mengutuk jenayah kejam berulang terhadap kemanusiaan yang menyasarkan orang awam yang tidak bersalah, kemudahan kesihatan dan pusat ibadah.
“Malaysia dan China bersetuju untuk terus bekerjasama untuk mencari penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam perkembangan lain, Zambry memaklumkan Naib Presiden China, Han Zheng melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya selepas hadir ke sebuah majlis di Istana Negara.
Zambry berkata, beliau bersama Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong mengiringi Perdana Menteri dalam pertemuan tersebut.
“Beliau (Perdana Menteri) menzahirkan penghargaannya terhadap lawatan Han Zheng yang bertujuan untuk menguatkan dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif sejak 2013.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), projek Automotive Hi Tech Valley dan telekomunikasi. Kedua-dua negara akan terus mempromosikan hubungan sesama rakyat dengan meningkatkan kesalinghubungan, dan Malaysia mengalu-alukan kedatangan lebih ramai pelancong dari China,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua negara turut berharap agar dapat bekerjasama bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala ini sempena hubungan diplomatik kedua-dua negara yang ke-50 pada 2024. – UTUSAN










