KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyeru masyarakat untuk segera menunaikan zakat mereka sebelum 31 Disember ini.
Ia bagi membolehkan mereka menikmati rebat cukai pendapatan taksiran tahun 2023 selain menikmati pelbagai tawaran menarik sepanjang Kempen Year End Zakat (YEZ) 2023.
Ketua Pegawai Eksekutuf PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, rakyat kini berada dalam keadaan terhimpit yang boleh mencengkam kehidupan susulan kesan situasi ekonomi domestik dan global.
Menurut beliau, bilangan ketua keluarga asnaf yang dibantu yang dibantu MAIWP secara bulanan ketika ini mencecah kepada lebuh 30,200 ketua keluarga dan ia dijangka meningkat kepada 37,000 pada tahun depan.
“Jadi ini menyebabkan kami kena kerja keras dan buat pelbagai usaha untuk mengantuni dan menyedarlan masyarakat Islam terutamanya mereka yang berkemampuan supaya tampil membayar zakat serta berganding bahu dengan PPZ-MAIWP untuk membantu mereka yang termasuk dalam golongan asnaf.
“Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada semua untuk berkempen kepada individu terdekat supaya kesedaran zakat ini dapat menular kepada semua lapisan masyarakat dan bukan hanya disampaikan oleh PPZ-MAIWP semata-mata.
“Kerana kami secara bersendirian tidak mampu menguar-uarkan dakwah ini secara menyeluruh, kami mengharapkan bantuan semua,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Kempen YEZ 2023 di Taman Metropolitan Kepong, di sini.
Kempen YEZ 2023 dianjurkan PPZ-MAIWP dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi); CIMB Islamic, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan GoPayz.
PPZ-MAIWP mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM1 bilion pada tahun ini, dengan jumlah setakat Oktober adalah sebanyak RM688 juta.
Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, kempen YEZ 2023 merupakan antara inisiatif PPZ-MAIWP untuk mempromosi dan menyebarluas dakwah zakat kepada semua lapisan masyarakat Islam di Malaysia.
“Bertemakan Mana Kaya Sebenar, Kami ingin mengajak masyarakat untuk tidak menilai kekayaan dengan hanya memilki harta dan material mewah yang melimpah ruah, tetapi kekayaan sebenar adalah terletak di dalam hati, apabila kita memberi dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
“Sebagai galakan dan penghargaan kepada para pembayar kami, pelbagai pengisian dan tawaran-tawaran menarik diadakan sepanjang tempoh kempen berlangsung antaranya hari bersama pembayar dan jamuan makan kepada pembayar di kaunter bermula 25 Disember.
“Selain itu, percuma baucar e-dompet Touch ‘n Go (TnG) kepada 10 pembayar terawal setiap Jumaat; pertandingan dan kuiz di media social PPZ-MAIWP; serta Kempen Untukmu Wanita atau carman Skim Suri Perkeso percuma selama satu tahun pada 2024..
“Seterusnya, cabutan bertuah yang menawarkan lebih 1,000 hadiah untuk dimenangi. Antaranya pakej umrah, thermomix, telefon pintar, vakum dan banyak lagi. Terima kash kepada pihak
CIMB Islamic kerana sudi menjadi penaja utama bagi hadiah cabutan bertuah ini,” katanya.
Tambah beliau, kesemua kaunter PPZ-MAIWP akan beropersi setiap hari sepanjang Disember termasuk pada cuti umum.
“Inilah antara komitmen PPZ-MAIWP dalam memacu usaha-usaha dakwah sekaligus memudahkan pembayar untuk menunaikan zakat, agar asnaf khususnya dapat menikmati mantaat daripada agihan dana zakat untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya.
Dalam program sama, PPZ-MAIWP turut memperuntukkan sebanyak RM2,036,864.60 kepada bantuan kemanusiaan untuk disalurkan ke Palestin. –UTUSAN
Habis









