MAIPs salurkan sumbangan RM1.12 juta kepada Palestin - Utusan Malaysia

MAIPs salurkan sumbangan RM1.12 juta kepada Palestin

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) berkenan menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan Fi Sabillilah Misi Kemanusiaan MAIPs ke Gaza di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kuala Perlis, Perlis.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Rakyat Perlis yang ingin memberi sumbangan buat rakyat Palestin diingatkan agar dapat menyalurkannya hanya menerusi pihak-pihak yang telah diberikan tanggungjawab berkenaan oleh kerajaan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah ini adalah bagi membolehkan setiap sumbangan berkenaan dapat disampaikan secara terus kepada masyarakat Islam di Gaza.

Titah baginda, rakyat Malaysia diharap dapat terus bersoladiriti buat penduduk Palestin tanpa mengira agama dan bangsa dengan memberikan sokongan sepenuhnya.

“Meskipun kita tidak dapat membantu di sana secara fizikal, doa dan hati kita akan sentiasa bersama mereka”, titah baginda sewaktu berkenan menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan Fi Sabillilah Misi Kemanusiaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Gaza di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kuala Perlis, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Yang Dipertua MAIPs, Dr. Hazman Hassan, Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Menerusi pemberian itu, MAIPs menyalurkan sumbangan bernilai RM1.12 juta kepada umat Islam di Palestin.

Dalam majlis sama, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM400 setiap seorang buat 20 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut.

Sementara itu, Mohd Nazim berkata, MAIPs bersetuju menyampaikan sumbangan di bawah peruntukan ‘Fi Sabilillah’ yang jelas selari dengan tujuan agihan zakat.

“MAIPs turut bekerjasama dengan Wisma Putra dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memudahkan urusan sumbangan ini.

“Pemberian ini terdiri daripada RM1 juta dana MAIPs sedia ada selain RM120,000 merupakan sumbangan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) melalui Tabung Aqsa MAIPs,” katanya.

Tambahnya, agihan sumbangan itu akan diserahkan melalui Tabung Musaadah JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia dan akan diagihkan kepada NGO yang dikenal pasti dapat menyampaikan bantuan secara terus kepada penduduk Gaza,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya