KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah. Ayu ada beritahu hubunganya dengan mama sudah baik. Dia cakap, mama ada mesej dia dan mereka sudah bermaaf-maafan, jadi baguslah.”
Demikian penjelasan komposer tersohor, Ajai, 48, memaklumkan berhubung kontroversi perselisihan faham antara bekas isteri, Nourul Wahab dan anak sulung mereka, Ayu Nazirah yang tular baru-baru ini.
Kongsi Ajai, apa yang telah berlaku antara mereka merupakan perkara biasa dalam perhubungan ibu dan anak malah dia juga percaya, hubungan mereka akan kembali bertaut.
“Mereka sudah dewasa, saya faham situasi itu. Biasalah kan. Macam mana pun, mereka tetap darah daging. Kalau di situ ada api, di sini pun ada api, saya tak boleh jadi api, saya kena jadi air.
“Ayu pun tidak berkongsi sangat sebab sekarang sibuk bekerja. Ayu dapat cuti Jumaat dan Sabtu, sementara hari lain dia bekerja. Ayu pula bekerja dalam bidang zoologi sekarang.
“Biasalah anak, apabila gaduh dengan saya, dia hantar laporan kepada mamanya. Kalau gaduh dengan ibu, dia hantar laporan kepada saya,” kata pemilik nama Mohd Faizal Maas itu.
Ajai ditemui pada majlis pelancaran lagu Saat Hilang Cintamu nyanyian semula Aufahanie di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ajai juga sedia melepaskan anak perempuan sulungnya itu kepada lelaki pilihan sekiranya menepati syarat ditetapkan.
“Kalau Ayu hendak kahwin, saya terbuka. Itu pilihan dia dan saya akan sokong. Umur dia pun sudah semakin meningkat.
“Cuma saya nasihatkan fokus kepada kerja dahulu. Untuk bakal suami Ayu, stabilkan dahulu kehidupan merangkumi kewangan dan sebagainya,” katanya.
Sebelum ini, Nourul atau nama sebenar, Noorulhuda Abdul Wahab berkongsi foto sedang hamil dan menceritakan pengalaman sebelum melahirkan Ayu kira-kira 25 tahun lalu.
Menerusi perkongsian yang sama, penyanyi Kerana Terluka itu turut meluahkan perasaan seolah berjauhan hati apabila mendakwa dirinya dipinggirkan selepas anaknya mempunyai ibu baharu.