PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Bangladesh cedera dipukul selepas menegur rakan senegaranya yang membuat bising dalam kejadian di sebuah asrama pekerja warga asing di Jalan TP 7/7, Subang Jaya, dekat sini semalam.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.30 pagi ketika mangsa berumur 34 tahun itu berada di asrama terbabit bersama rakannya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan suspek sebelum dia dipukul dengan sebatang kayu menyebabkan bahagian belakang kepalanya cedera.
“Suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk serta berbuat bising sebelum tindakannya ditegur mangsa.
“Mangsa dilaporkan stabil dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital berdekatan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek berumur 37 tahun yang juga warga Bangladesh diberkas kira-kira pukul 10.45 pagi untuk siasatan lanjut berkaitan kejadian.
“Polis turut merampas kayu dipercayai digunakan untuk memukul mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN