KUALA LUMPUR : Seorang ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa supaya menteri baharu dilantik bagi menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, ia mengambil kira pengurusan perbelanjaan peruntukan yang diterima oleh kementerian terbabit, sekali gus isu-isu rakyat berkaitan kos sara hidup perlu diselesaikan dengan segera.
Dalam hal ini, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa tidak mengambil masa terlalu lama untuk melantik menteri baharu tersebut.
“Kementerian ini tak perlu menunggu masa terlalu lama, (sudah) lebih empat bulan (bekas) menteri penuhnya tidak dapat lagi diisi. Sampai bila kita nak menunggu ketika mana kita sedang menguruskan (perbelanjaan) RM1.88 bilion untuk kementerian ini?
“Saya menyarankan supaya Perdana Menteri tidak menunggu masa lebih (lama) lagi untuk melantik menteri ini. Jangan tunggu lama,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN










