KPDN audit sistem perbekalan minyak masak paket - Utusan Malaysia

KPDN audit sistem perbekalan minyak masak paket

FUZIAH SALLEH-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang melakukan audit mengesan ketirisan rantaian perbekalan minyak masak bersubsidi.

Timbalan Menterinya, Senator Fuziah Salleh berkata, pihaknya kini sedang meneliti sistem perbekalan minyak masak dikenali Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS).

Katanya, sistem tersebut dapat mengesan pergerakan pengeluaran minyak masak daripada pengilang, pihak ‘repacker’ atau pembungkusan semula, pemborong hingga peruncit .

“Buat masa ini, kementerian sedang meneliti dan melakukan audit untuk melihat beberapa isu termasuk dari sudut integriti rantaian perbekalan minyak masak bersubsidi dan menambah baik sistem hingga sampai kepada pengguna.

“Audit ini dijangka siap menjelang suku pertama tahun hadapan dan apabila siap kita akan melihat syor-syor hasil daripada penelitian tersebut untuk tindakan seterusnya bagi mengekang ketirisan barangan bersubsidi tersebut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Aiskrim Rahmah dan Jualan Rahmah yang disertai rangkaian francais aiskrim Mokti’s dan pasar raya JMart di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Fuziah turut memaklumkan pihaknya tidak menerima laporan secara spesifik mengenai tindakan menjual minyak bersubsidi sebagai minyak masak kitar semula yang harganya kini RM3.80 sekilogram berbanding harga minyak subsidi RM2.50 sekilogram.

“Kita tidak menerima laporan spesifik mengenai tindakan tersebut namun terdapat rampasan apabila pemeriksaan pihak berkuasa mengesan terdapat minyak masak bersubsidi berada pada tempat yang tidak sepatutnya.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa kuota 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi adalah mencukupi untuk kegunaan golongan B40 dan sebahagian M40 berjumlah 5.8 juta isi rumah yang layak menggunakannya dengan keperluan 4.8 kilogram sebulan,” jelasnya.

Tambah Fuziah, bagi keperluan peniaga mikro seperti pengusaha kantin, cafe, penjual pisang goreng dan sebagainya, mereka memerlukan kira-kira 400 paket sebulan.

“Kalau dulu mereka mungkin menggunakan minyak masak banyak kali misalnya, tapi harga minyak masak terpakai kini kira-kira RM3.80, maka mereka tidak menggunakannya banyak kali namun dijual sebagai minyak masak kitar semula, itu menyebabkan bahan tidak cukup, mungkin dua kali goreng sudah dijual.

“Jadi apabila kita ingin melakukan penyasaran subsidi kita melihat perkara ini. Mungkin menaikkan sedikit harga minyak subsidi agar ia tidak begitu mudah untuk dijual (sebagai minyak masak terpakai),” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya