TAPAH: Pembangunan semula Taman Eko-Rimba Lata Kinjang bagaikan memberi nafas baharu buat penduduk sekitar khususnya Orang Asli yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Lata Kinjang yang dikenali dengan keunikan air terjun antara tertinggi di Asia Tenggara, kini dimodenkan menjadi pusat pelancongan berteraskan keindahan alam semula jadi hutan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Sejak dibuka pada Julai 2022 dengan nama Taman Eko-Rimba Lata Kinjang, dalam sebulan, secara purata ia dikunjungi lebih 10,000 pelancong hasil perancangan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Pelbagai infrastruktur dibangunkan seperti jambatan gantung, denai kembara sejauh tiga kilometer, 10 tiub penginapan dan tapak perkhemahan dengan menerapkan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).
Pencapaian itu dilihat sebagai antara projek pembangunan setempat paling berjaya di Malaysia, terutama menyediakan peluang ekonomi berpanjangan kepada penduduk Kampung Orang Asli Lata Kinjang dan lima buah kampung lain sekitarnya.
Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, strategi pembangunan pusat tarikan tersebut bukan sahaja untuk meningkatkan kehadiran pelancong malah melibatkan rancangan menaikkan taraf hidup penduduk setempat.
“NCIA berperanan membimbing penduduk kampung menubuhkan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALB) bagi menguruskan Taman Eko-Rimba Lata Kinjang dengan lebih sistematik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
KOALB ditubuhkan pada Julai tahun lalu dianggotai 71 ahli terdiri daripada penduduk Kampung Orang Asli Lata Kinjang.
Pengerusi KOALB, Muhammad Akmal Ila Ahmad pula berkata, NCIA menyediakan dana pembangunan semula destinasi pelancongan itu secara sistematik termasuk bimbingan mengurus kepada koperasi itu.
“Kehadiran pelancong merancakkan pertumbuhan perniagaan kecil di sekitar Lata Kinjang. Ia memberi nafas baharu kepada 1,500 penduduk Orang Asli di sekitarnya,” katanya. – UTUSAN