BINTULU: Kestabilan politik di Sarawak bukti penyumbang kepada faktor penarik utama pelabur asing, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, baru-baru ini sebuah syarikat berpangkalan Abu Dhabi telah menyatakan minat untuk melabur dalam projek tenaga boleh diperbaharui Sarawak dengan jumlah USD20 billion di Malaysia dan fokus kepada projek kuasa hidro dan projek perintis solar terapung Batang Ai di Sarawak.
“Apabila situasi politik stabil, pemimpin boleh fokus kepada pentadbiran negara secara menyeluruh. Sebab itu kita lihat banyak projek di Sarawak yang diperkenalkan melibatkan hidrogen, bahan api penerbangan daripada alga, dan sebagainya.
“Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terbabit telah datang ke Kuala Lumpur bagi mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Premier Sarawak (Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan) dan menyatakan hasrat mereka ingin melabur di Sarawak.
“Mereka berhasrat untuk melabur USD20 bilion di Malaysia dalam tempoh 10 tahun dan Sarawak adalah salah satu destinasi yang mereka cari dari segi tenaga boleh diperbaharui,” jelas Fadillah ketika berucap di program ‘Mesra Bersama Pemimpin’ di Dewan Kampung Kemunting di sini malam tadi.
Sehubungan itu, pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Jepak beliau menggesa agar pengundi Jepak menunaikan kewajipan mereka untuk turut turun hari mengundi.
Tegasnya, hanya dengan majoriti kukuh dan kemenangan besar, wakil rakyat Jepak boleh bersuara lebih kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Sementara itu, ketika diminta nasihatnya untuk calon PBB dalam pilihan raya kecil Jepak Iskandar Turkee, Fadillah turut menggesa Iskandar turun bertemu seberapa ramai pengundi semasa tempoh berkempen kerana kebanyakan pengundi mungkin belum mengenalinya.
“Beliau (Iskandar) perlu memberitahu penduduk Jepak bahawa beliau bukan sahaja Vaie tempatan, tetapi juga seorang yang boleh komited dalam memberikan khidmat bakti kepada Jepak.
“Beliau juga boleh berkongsi visinya untuk Jepak dengan penduduknya dan lebih penting memperkenalkan dirinya kepada mereka,” kata Fadillah. –UTUSAN










