KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berkaitan kes tiga anggota polis didakwa terlibat menculik dan memeras ugut warga Bangladesh, Selasa lalu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam minggu ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiga anggota tersebut akan diberi jaminan sementara selepas tempoh reman tamat hari ini manakala tiga lagi suspek masih direman sehingga lusa.
“Setakat ini, kita mengambil keterangan seramai lapan individu bagi membantu siasatan.
“Tangkapan melibatkan enam orang iaitu tiga anggota dan tiga orang awam. Kita juga sedang memburu tiga lagi suspek berkaitan kes ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya dalam proses tindakan tahan kerja ke atas ketiga-tiga anggota tersebut.
“Proses itu akan dilaksanakan selepas siasatan ke atas mereka selesai,” katanya.
Media semalam melaporkan seramai enam individu termasuk tiga penjawat awam berkaitan kes pemerasan dan kurungan salah melibatkan seorang warga asing pada Jumaat lalu.
Hussein dilaporkan berkata, ini susulan laporan diterima polis daripada anak saudara mangsa pada Rabu lalu yang mendakwa bapa saudaranya meminta untuk diselamatkan dengan membawa sejumlah wang.
“Pengadu kemudian menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali yang melarangnya membuat laporan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan (KK) kerana cuba melakukan pemerasan dan Seksyen 342 KK kerana kurungan salah,” katanya.
Semalam, tular laporan mendakwa tiga anggota polis dari sebuah jabatan di Putrajaya dekat sini ditahan kerana dipercayai terlibat kes pemerasan dan kurungan salah melibatkan seorang warga asing.
Dalam laporan itu turut mendakwa tiga anggota itu diupah seorang warga tempatan apabila mangsa dikatakan berhutang dengan suspek utama.-UTUSAN