Kenaikan kadar kompaun kesalahan letak kereta didik patuhi undang-undang - Utusan Malaysia

Kenaikan kadar kompaun kesalahan letak kereta didik patuhi undang-undang

ROSLI Latif (tiga dari kiri) membantu membersihkan kipas pada program gotong-royong MBKT di medan selera Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kenaikan kadar kompaun baharu bagi kesalahan tempat meletak kereta yang bermula hari ini bukan bertujuan menjana pendapatan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Sebaliknya, Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif berkata, kompaun baharu itu bertujuan mendidik orang ramai agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan selama ini demi kesejahteraan penduduk di bandar raya tersebut.

Menurutnya, kadar kompaun baharu itu juga tidak membebankan masyarakat kerana jumlahnya masih agak rendah berbanding kadar yang dikenakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bandar raya besar yang lain di seluruh negara.

“Sebenarnya kadar kompaun ini sudah 27 tahun tidak dinaikkan dan jumlahnya yang sangat kecil membuatkan ramai mengambil remeh dan tidak membayar kompaun tersebut.

“Tugas kami (MBKT) menjaga bandar, katakanlah seorang pemandu letak kereta di tempat yang tak betul menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk terhadap 100 orang lain di belakangnya, ini yang kita nak elakkan dengan kompaun lebih tinggi untuk didik masyarakat patuhi peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek gotong-royong MBKT di medan selera Batu Buruk, di sini, hari ini.

Semalam, media menyiarkan kenaikan 100 peratus kadar kompaun baharu yang diperkenalkan MBKT dan mula dikuatkuasakan hari ini.

Berdasarkan notis dikeluarkan MBKT tersebut, kadar kompaun bagi kesalahan itu yang sebelum ini cuma RM5 jika diselesaikan dalam tempoh tujuh hari akan dinaikkan kepada RM10.

Kadar yang perlu dibayar itu bakal meningkat kepada RM20 sekiranya pemilik kenderaan berkenaan hanya melunaskan kompaun berkenaan dalam tempoh antara tujuh dan 14 hari.

Sebelum ini, individu yang dikompaun atas kesalahan terbabit yang melakukan penyelesaian dalam tempoh sama hanya perlu membayar RM10.

Begitupun, kadar bagi kompaun yang dibayar lewat melebihi dua minggu pula kekal RM40. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya