Kemunculan ikan tapah bersaiz mega bukan petanda berlaku banjir besar - Utusan Malaysia

Kemunculan ikan tapah bersaiz mega bukan petanda berlaku banjir besar

TANGKAP layar daripada video yang tular menunjukkan beberapa ikan bersaiz mega ditangkap di Sungai Nerus, Manir, Kuala Terengganu, baru-baru ini. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Orang ramai tidak perlu panik dengan dakwaan kononnya akan berlaku banjir besar di Terengganu berikutan tularnya sebuah video tangkapan ikan tapah bersaiz mega yang ditangkap di Manir, baru-baru ini.

Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Amirrudin bin Ahmad berkata, tangkapan tersebut bukanlah petanda satu malapetaka akan melanda penduduk negeri ini.

Menurutnya, spesies ikan tapah dan ikan lain yang bersaiz mega sebenarnya masih wujud di sungai-sungai utama di Malaysia, namun ia sangat jarang ditemukan nelayan.

“Bagaimanapun, jumlahnya semakin berkurangan ketika ini menjadikan tangkapan ikan bersaiz mega akan dianggap perkara luar biasa oleh masyarakat.

“Di Malaysia, masih belum ada kajian mengenai proses migrasi ikan terutama induk yang bersaiz mega ini ke dataran banjir (floodplain) dan sungai-sungai yang lebih kecil untuk tujuan mengawan dan bertelur.

“Namun, dari sudut biologi dan habitat, ikan bersaiz mega kebiasaannya akan mencari dataran banjir atau sungai-sungai yang ditenggelami banjir untuk bertelur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, tular di media sosial sebuah video berdurasi 17 saat mengenai ikan tapah yang berjaya ditangkap oleh penduduk kampung di Manir dan dipercayai hasil tangkapan itu diperoleh dari Sungai Nerus dekat sini.

Melalui ruang komen pula, warganet mempercayai tangkapan ikan bersaiz mega itu ada kaitan dengan kemungkinan berlakunya banjir besar berdasarkan pengalaman generasi terdahulu.

Mengulas lanjut, Amirrudin berkata, kewujudan ikan bersaiz mega di sungai tersebut bukanlah satu indikator atau jangkaan banjir besar seperti yang tular dan setakat ini tiada satu dapatan sains yang boleh mengaitkan kedua-duanya.

“Setakat ini di Malaysia, kita masih tiada kajian mengenai ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan, pengalaman, ramalan atau firasat (seperti cerita rakyat) yang boleh dikaitkan kebenarannya dengan sains.”

“Namun tidak salah untuk kita semua sentiasa berwaspada dengan jangkaan banjir besar kerana dalam teknologi dunia yang semakin canggih ini, banyak maklumat berkaitan perubahan cuaca boleh diperolehi agar kita semua selamat dari perkara tidak diingini, cuma jangan terlalu taksub dengan kisah-kisah tular seperti ini,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.