Kempen kesedaran laku ujian saringan, cegah gonorrhoea diperkasa  - Utusan Malaysia

Kempen kesedaran laku ujian saringan, cegah gonorrhoea diperkasa 

ZURAIDA MD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri disaran memperkasakan lagi kempen kesedaran orang ramai untuk melakukan ujian saringan dan pencegahan penyakit penularan seksual seperti gonorrhoea di Terengganu.

Zuraida Md. Noor (Pas-Ladang) yang membangkitkan isu tersebut berkata, berdasarkan hasil dapatan dan statistik yang diperolehi dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), anak muda lelaki lebih ramai dijangkiti penyakit kelamin itu berbanding wanita dan umur yang paling tinggi dijangkiti ialah antara lingkungan 18 hingga 24 tahun.   

“Saya cukup berterima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang sentiasa menjalankan aktiviti-aktiviti kesedaran berkaitan penyakit-penyakit kelamin kepada masyarakat termasuk juga kepada guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi.  

“Namun, antara isu dan kekangan yang sering dihadapi oleh pihak kesihatan ialah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, tidak boleh membuat saringan penyakit ini tanpa kebenaran ibu bapa. 

 “Bagi kanak-kanak pula, seringkali  tidak mendapat kerjasama ibubapa atau penjaga untuk membenarkan anak mereka disaring. Ini menyukarkan pihak berwajib memantau kes ini,” katanya dalam sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.

Oleh itu, beliau mencadangkan beberapa tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri bagi menangani permasalahan tersebut antaranya melibatkan kerjasama  Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebagai jabatan penggerak dari sudut penerapan nilai agama kepada remaja seawal sekolah rendah atau sekolah menengah. 

“Langkah lain ialah meningkatkan kerjasama dan penglibatan Unit Sukarelawan Kesihatan (MyChampion) dan Program Kesihatan Remaja di dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu kesukaran golongan wanita untuk  membuat pemeriksaan mamogram kerana kebanyakan pusat  perubatan terletak di pusat bandar dan keadaan ini menyukarkan golongan wanita yang tinggal di pedalaman atau luar bandar.

 “Masalah pengangkutan, jarak yang jauh dan kos perjalanan yang besar menyebabkan wanita ini tidak bersungguh dan menangguh untuk membuat pemeriksaan mamogram.  

 “Justeru itu, saya ingin mencadangkan agar diluaskan lagi kaedah program pemeriksaan mamogram ini di kawasan luar bandar atau pedalaman dengan mengadakan kerjasama pihak hospital yang mempunyai peralatan pemeriksaan mamogram secara mobil atau secara bergerak kepada wanita-wanita ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya