ALOR SETAR: Kerajaan wajar mempertimbang untuk mengembalikan status bebas cukai sepenuhnya kepada Langkawi bagi menyemarakkan semula industri pelancongan ke pulau tersebut.
Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, pihaknya percaya insentif cukai ke atas rokok dan produk tembakau yang dikutip kerajaan sejak 2021 itu tidak seberapa berbanding kerugian yang ditanggung oleh pemain industri pelancongan ketika ini.

“Saya tidak ada statistik tentang kemerosotan pelancong tetapi daripada cerita pemain industri dan orang Langkawi, mereka kata orang tak mahu mai (datang) Langkawi kerana ramai yang pilih untuk pergi ke Hatyai.
“Dulu orang ramai melancong ke Langkawi kerana di samping bercuti mereka nak membeli produk bebas cukai tetapi sudah ditarik balik status itu jadi ada kesan sikit. Kalau tak mereka nak beli kain batik, rokok bawa balik sebagai ole-ole walaupun tak hisap rokok tetapi depa nak beli untuk kawan-kawan misalnya.
“Itu sebahagian daripada tradisi orang kita. Tetapi bila status bebas cukai sudah tak ada memanglah tak ada makna. Saya rasa kerajaan pun tak untung banyak daripada insentif cukai itu. Maka perlu pertimbangkan beri balik kepada Langkawi sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang laporan akhbar ini hari ini bahawa semakin ramai pengusaha makanan menutup operasi manakala pemilik kereta sewa pula melelong kenderaan masing-masing ekoran kemerosotan pelancong ke Langkawi.
Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) yang menyifatkan Langkawi bakal bergelar ‘pekan hantu’ jika tiada langkah drastik daripada pihak kerajaan.
Mohd. Suhaimi turut menafikan sentimen makanan dan minuman di Langkawi ‘cekik darah’ kerana situasi itu turut berlaku di seluruh negara ekoran kenaikan harga bahan mentah.
“Saya duduk di Langkawi tak rasa harga tinggi. Kenaikan harga barang jika ada untuk tampung kos pengangkutan itu adalah automatik,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu jadual feri yang terhad ketika ini sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kesuraman industri pelancongan di pulau berkenaan.
Masalah Langkawi nombor satu adalah feri kadang-kadang terlalu sesak dan dahulu feri sejam sekali dari 7 pagi ke 7 petang. Sekarang kena tunggu berjam-jam untuk satu trip. Saya sudah bawa isu ini ke Parlimen dan insya-Allah kita berusaha untuk menyelesaikannya satu demi satu dalam tempoh setahun ini.
“Selain itu kita juga berharap agar sistem pengangkutan feri itu ditambah baik dengan bersifat lebih mesra penumpang. Contoh penumpang nak bawa basikal tak boleh, kena guna Ro-Ro jadi fasiliti seperti ini perlu tambah baik,” katanya. – UTUSAN










