Kedah perkenal ‘Tahun Melawat Kedah 2025’

Kedah perkenal ‘Tahun Melawat Kedah 2025’

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah akan melancarkan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 bagi merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi berkata, pihaknya berharap untuk mendapatkan kerjasama penuh daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi melaksanakan program tersebut.

“Perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Exco hari ini dengan promosinya akan bermula tahun depan. Jumlah bajet untuk promosi akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan Kedah 2024, 26 November ini.

“Jumlahnya agak banyak tetapi kita hanya akan umum nanti. Saya amat berharap program Tahun Melawat Kedah akan dapat kerjasama penuh Kerajaan Persekutuan terutamanya dalam aspek promosi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, kebanjiran pelancong ke Langkawi sempena cuti Deepavali baru-baru ini membuktikan betapa pulau legenda itu tidak ‘sunyi’ seperti dikatakan pihak tertentu.

“Saya nak nafikan ‘kesunyian’ Langkawi dan baru-baru ini pun ada kapal persiaran yang bawa 10,000 pelancong ke sana. Semua destinasi pelancongan ada waktu puncaknya.

“Kadang-kadang ada orang dan ada waktunya, tiada. Semua itu berada dalam jadual sektor pelancongan dan sebab itulah kalau kita tempah hotel pun, harganya berbeza pada waktu puncak berbanding hari biasa,” katanya.  

Beliau dalam pada itu mendakwa terdapat kumpulan tertentu yang sengaja menggembar-gemburkan perkara itu kerana mahu mendapatkan peruntukan atas alasan untuk mengadakan promosi atau program tertentu di Langkawi.

“Mereka kata tak ada orang, jadi kena buat promosi dan semua itu perlukan duit. Itu pun satu bentuk perniagaan juga. Itulah punca kepada kehangatan isu sekarang kononnya tak ramai orang ke Langkawi. Padahal saya tak dapat rungutan apa pun dari orang Langkawi kononnya mahal dan sebagainya di sana,” katanya.

Mengulas perkara berkaitan, Muhammad Sanusi menafikan dakwaan kononnya polisi kerajaan negeri berkaitan sektor hiburan membantutkan industri pelancongan di negeri itu.

“Saya tak fikir itu sebabnya. Cumanya dalam hiburan ini kena ada garis panduan dan perkara itu ada di semua negeri. Orang tumpu kepada pakaian kerana negeri ini ditadbir Pas yang dikatakan ‘Tok Lebai’. Kononnya Tok Lebai kerjanya tengok orang tutup aurat atau tidak sedangkan itu gambaran yang diberikan kepada Pas pada 60-an dan 70-an,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya