Kawasan Ustaz Hafiz hilang sudah lima tahun terbiar

Kawasan Ustaz Hafiz hilang sudah lima tahun terbiar

PASUKAN SAR sambil dibantu penduduk Kampung Sedim mencari mangsa di sekitar kawasan peranginan Lubuk Siku, Sungai Sedim, Kulim, Kedah. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kehilangan seorang guru subjek Pendidikan Islam, Mohd. Hafiz Jasmi, 38, yang mengajar di sebuah sekolah rendah, di sini masih menjadi tanda tanya termasuk dalam kalangan penduduk setempat.

Apatah lagi, kawasan peranginan Lubuk Siku, Sungai Sedim yang menjadi lokasi penemuan kereta Proton Saga milik guru terbabit dikatakan sudah lama terbiar.

Seorang penduduk, Saadiah Abdullah, 50, berkata, lokasi terbabit sudah terbiar sejak lebih lima tahun lalu berikutan kawasan terbabit berbahaya kepada pengunjung untuk mandi-manda.

“Air di kawasan itu berarus deras serta mempunyai lubuk yang amat berbahaya kepada orang ramai sekiranya tergelincir.

“Kawasan itu ditutup untuk aktiviti mandi dan berkelah, kini hanya menjadi tempat tumpuan kaki pancing sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Akhbar ini melaporkan, Mohd. Hafiz dikhuatiri hilang di kawasan peranginan Sungai Sedim dan gerakan mencari masuk hari kelima setelah satu laporan polis dibuat yang membawa kepada penemuan kereta miliknya di kawasan berkenaan.

Ibu mangsa, Zaiton Othman, 64, berkata, dia yang tinggal berasingan dengan anaknya hanya mengetahui kehilangan Mohd. Hafiz selepas dihubungi salah seorang guru di sekolah tempat mangsa mengajar.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Azhar Othman, 47, yang menyertai operasi dan menyelamat (SAR) bersama pihak berkuasa berkata, pencarian di sekitar kaki Gunung Bintang yang merangkumi perjalanan sejauh 10 kilometer tidak menemukan apa-apa petunjuk setakat ini.

“Hari ini kami cuba mencari mangsa di sekitar sungai dan dasar sungai dengan beberapa penduduk turut menyelam di Lubuk Siku, namun masih tiada petunjuk,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Azhar Abu Bakar, 54, berkata, dia tergerak hati untuk membantu pasukan penyelamat dengan menggunakan kaedah rawatan secara Islam dengan membawa seorang ustaz dari Pusat Rawatan Islam Al Fatih di Tikam Batu, Munir Abd. Kadir.

“Insya-Allah azam dan bertawakal, jika usaha cara fizikal masih gagal, kita cuba pula secara rawatan Islam untuk bantu mencari mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, operasi hari ini diteruskan oleh pasukan SAR bagi mencari mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN