KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yakin dengan adanya Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Siti Zainol Ismail dapat membimbing mahasiswa mempelajari citra perjuangan wanita yang kental.
Bercakap dalam majlis perasmian seminar itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr. Anwar Ridhwan berkata, semangat kewanitaan yang ditonjolkan oleh Prof. Datuk Dr. Siti Zainol Ismail itu mampu dijadikan sebagai suri teladan terutamanya buat pada golongan wanita.
Katanya, kecekalan dan semangat yang ditonjolkan oleh Sasterawan Negara itu dapat diselami para pendidik, mempunyai jiwa keibuan dalam mendidik anak bangsa dan mengangkat martabat bangsa berilmu.
“Saya berbangga kerana Siti Zainol Ismail membawa suara wanita di peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui karya-karya sastera yang bermakna dan indah.
“Karya beliau dari sisi penulis wanita tempatan melalui pengolahan idea seni dan budaya nusantara, memperkenalkan namanya sebagai sasterawan yang tidak mengenali penat dan lelah dalam mengangkat citra negara,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari bersama dengan barisan Sasterawan Negara yang lain.
Menurut Anwar Ridhwan, tujuan seminar tersebut diadakan adalah bagi mengetengahkan pemikiran dan falsafah yang tinggi nilainya yang terkandung dalam karya Sasterawan Negara.
Selain itu, beliau berharap para hadirin dapat mengetengahkan pemikiran dan falsafah yang tinggi nilainya dalam karya-karya yang dihasilkan para Sasterawan Negara.
Dalam pada itu, beliau meminta agar pelajar daripada institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengikuti seminar itu mampu menyebarkan korpus seminar kepada masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kelestarian sastera kebangsaan melalui perbincangan yang tuntas oleh para pengkaji.
Seterusnya, kata beliau, para pelajar diharapkan boleh memperkasakan kesusasteraan kebangsaan melalui aktiviti wacana dan penghasilan kertas kajian.
Beliau yang juga merupakan sasterawan negara berkata, seiring dengan tema seminar tersebut iaitu ‘Siti Zainol Ismail: Kembara Seni Berpadu dalam Puisi dan Prosa’, dapat memperlihatkan
kelebihan karya seseorang Sasterawan Negara yang telah menerima pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan Malaysia melalui Anugerah Sastera Negara ( ASN).
Justeru, kata beliau, justifikasi daripada seminar itu wajar dilaksanakan bagi menyokong usaha DBP dalam memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui wacana dalam bidang kesusasteraan.
Beliau turut menambah, pelancaran bagi 10 buah buku yang merupakan Siri Kajian Pemikiran Sasterawan Negara (SN) adalah amat penting sebagai wadah korpus sastera di negara ini.
“Kekuatan kretiviti menjadi tunjang yang sangat penting terutamanya bagi seseorang pengarang dan sasterawan.
“Oleh itu, dasar yang diperlukan untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya cipta harus bermula dengan membina ekosistem yang mampu memupuk proses kreatif,” ujarnya.-UTUSAN