SUNGAI PETANI: Seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu farmasi dihadapkan ke Mahkamah Majisret, di sini hari ini kerana menyebabkan kematian adiknya yang juga orang kurang upaya (OKU), baru-baru ini.
Tertuduh, Nur Syuhaidah Mohd. Sani, 36, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, kakitangan di sebuah hospital swasta itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Nur Fatin Mohd. Sani, 29, di sebuah rumah di Residensi Prima Puteri Jaya, di sini antara 5.30 petang 6 November hingga 11.30 pagi 20 November lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Sekysen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan jika tidak dihukum gantung, boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md: Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan 31 Januari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Pada 20 November lalu, akhbar ini melaporkan seorang wanita OKU pembelajaran ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik yang disewa bersama kakaknya di Bandar Puteri Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kakak mangsa mendakwa menemui adiknya dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas pulang dari tempat kerja pada pukul 7.30 pagi.
Namun, wanita itu tidak berbuat apa-apa dan meninggalkan mayat adiknya kerana ketakutan serta keluar menguruskan beberapa hal berkaitan kerjanya sebelum hanya membuat laporan polis pada keesokan harinya. –UTUSAN