ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah menjangkakan dapat meraih hasil daripada perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Sik bermula tahun hadapan dengan kadar royalti bernilai 15 peratus.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, perkara itu adalah hasil keputusan Kerajaan Persekutuan menjadikan Kedah sebagai negeri kedua merintis projek perlombongan sumber mineral itu selepas Perak.
“Peruntukan hasil baharu ini akan membawa manfaat sepenuhnya kepada rakyat. Pada 2024 pentadbiran tanah Kedah merencanakan kutipan hasil daripada sudut sumber hasil kerajaan paling berdaya maju pada masa hadapan.
“Atas kelulusan penerokaan unsur nadir bumi itu, kerajaan negeri Kedah merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memberi peluang negeri Kedah dipilih sebagai projek perintis kedua selepas Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan Kedah 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15 (Mesyuarat Belanjawan 2024) bermula hari ini.
Katanya, pemilihan projek rintis ini akan meletakkan Kedah sebagai negeri berpotensi untuk melaksanakan perlombongan REE dengan anggaran oleh Jabatan Mineral dan Geosains sebanyak 250,000 tan metrik berbanding jumlah keseluruhan rizab REE Kedah berjumlah 1.196 juta tan metrik.
“Angka ini merupakan hasil penerokaan baharu pengekstrakan REE dalam tempoh 10 tahun akan datang. Potensi hasil yang membawa impak besar kepada ekonomi Kedah ini diharapkan dapat diuruskan dengan cekap, amanah dah adil untuk semua terutama rakyat.
“Sebelum itu, kesungguhan dan kesediaan kerajaan Kedah dalam memperkasakan industri mineral khususnya REE diterjemahkan sebagai Dasar Negeri dan pindaan Peraturan Mineral.
“Antaranya, Kedah telahpun memasukkan kadar royalti sebanyak 15 peratus bagi Karbonat REE sebagai satu kadar baharu yang bakal dikutip sekiranya REE menjadi bijih keberhasilan utama sektor perlombongan negeri ini,” katanya.
Justeru Muhammad Sanusi berharap menjelang pertengahan 2024, sektor itu akan mula menjana hasil berdasarkan satu kelulusan pengekstrakan yang telah diberikan sejak Ogos tahun lalu. –UTUSAN