PETALING JAYA: Polis menyambung reman dua beranak dan seorang wanita Indonesia selepas dipercayai terbabit dengan urusan jual beli bayi serta melarikan bayi di sebuah kedai barangan bayi di Jalan Ampang, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebelum ini, ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 49 tahun itu direman selama tiga hari.
“Reman kali pertama, ketiga-tiga suspek berkenaan tamat hari ini dan mereka disambung reman selama tiga hari lagi.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 48 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita warga Indonesia tidak keruan apabila bayinya dilarikan oleh dua beranak dalam kejadian di sebuah kedai barangan bayi di Jalan Ampang di sini pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, tindakan itu membongkar perbuatannya yang mahu menjual bayi lelaki yang berusia 15 hari kepada dua beranak terbabit.
Susulan kejadian itu, polis menahan ketiga-tiga mereka bagi membantu siasatan. -UTUSAN