JPA terima 98,757 cadangan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam

JPA terima 98,757 cadangan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam

SESI libat urus berhubung kajian SSPA diadakan bagi memastikan tiada satu pun penjawat awam yang tertinggal. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerima sebanyak 98,757 cadangan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) melibatkan 40,833 responden sehingga 31 Oktober lalu.

Laporan akhir Kajian SSPA dijangka dibentangkan pada Julai 2024 dan seterusnya diangkat untuk pembentangan dalam Belanjawan 2025.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Dr. Zulkapli Mohamed, pihaknya komited memastikan kajian itu dilaksanakan mengikut tempoh masa ditetapkan dengan dapatan data terangkum dan inklusif mewakili segenap lapisan suara akar umbi penjawat awam.

Katanya, sesi libat urus berskala besar mahupun kecil pada semua peringkat akan terus dipergiatkan melalui townhall, konvensyen, kumpulan fokus serta perjumpaan dengan pihak-pihak berkepentingan bagi memastikan tiada satu pun penjawat awam yang tertinggal.

“Bertitik tolak atas kesediaan ini, perubahan untuk menerima budaya kerja pantas dan berkesan melalui pendekatan menyeluruh tiga pihak iaitu rakyat, kerajaan dan industri perlu digerakkan seluruh jentera perkhidmatan awam untuk sama-sama tingkatkan prestasi dan produktiviti.

“Laksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan sebaiknya dengan mendukung penuh prinsip integriti dan tata kelola baik agar semua pihak mendapat manfaat, negara sejahtera dan seterusnya memaknai kajian yang kita usahakan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, sesi libat urus KPPA bersama penjawat awam negeri Johor mengenai kajian berkenaan diadakan semalam dalam usaha pelaksanaan sesi itu ke semua peringkat negeri bermula Ogos lalu.

Ia bagi memastikan semua penjawat awam merentasi pelbagai peringkat perkhidmatan, gred dan skim perkhidmatan terlibat dalam menyumbang pandangan, cadangan dan idea baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 lalu mengumumkan agar pelaksanaan penuh SSPA dibuat bermula tahun 2025.

“Kajian SSPA secara keseluruhan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam menerusi penggunaan teknologi dan kemahiran modal insan.

“Prestasi penjawat awam dilihat dari aspek produktiviti yang mewajarkan gaji setimpal, kesejahteraan dalam menangani kos sara hidup dan kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan berkaitan perkhidmatan awam,” katanya.

Kajian SSPA digerakkan mulai 29 Julai lalu melalui beberapa siri libat urus JPA dengan kementerian serta agensi Kerajaan Persekutuan merangkumi enam kelompok iaitu Keselamatan, Kesihatan, Pendidikan, Teknikal, Sains dan Teknologi serta Pengurusan.

Segala cadangan penambahbaikan serta pembaharuan boleh dikemukakan melalui portal Kajian SSPA di https://semakansaraan.jpa.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya