Jemaah haji B40, M40 buat bayaran penuh kos haji meningkat 

Jemaah haji B40, M40 buat bayaran penuh kos haji meningkat 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 67 jemaah haji dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) menolak Bantuan Kewangan Haji serta membuat bayaran penuh kos haji tahun ini. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata, jumlah itu meningkat berbanding hanya 44 jemaah pada musim haji tahun lalu.

Katanya, seramai 396 jemaah haji bagi musim 1444H/2023 turut membayar antara RM1,000 hingga RM12,000 lebih daripada kadar bayaran haji yang ditetapkan.

Menurut beliau, peningkatan mendadak jemaah yang menolak Bantuan Kewangan Haji tahun ini menunjukkan ramai sudah mula memahami dan menghayati konsep istito’ah bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu.

“Ibadat haji adalah rukun Islam yang hanya diwajibkan kepada mereka yang mampu dari segi kesihatan, kewangan, keselamatan dan mempunyai kebenaran untuk menunaikannya.

“Dari segi keperluan kesihatan, ibadat haji memerlukan individu untuk melakukan tawaf, sa’ie dan bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain dan sebagai contoh, ibadah tawaf dan sa’ie sahaja membabitkan pergerakan sejauh empat sehingga enam kilometer,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Syed Hamadah berkata, TH juga sudah memulakan persiapan bagi musim haji 1445H/2024M.

Katanya, kursus asas haji bagi musim 1445H sudah bermula pada 27 Oktober lalu dengan modul sebanyak 13 siri dan diadakan di 206 masjid terpilih seluruh negara, manakala kursus intensif haji akan dianjurkan pada bulan Februari tahun depan.

“Ini diikuti dengan kursus perdana haji yang akan diadakan pada April untuk memberikan persediaan yang secukupnya kepada bakal haji dalam aspek ilmu agama pelaksanaan ibadat haji serta persiapan diri sebelum berangkat ke tanah suci,” katanya. – UTUSAN

 

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.