Jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga ayam tidak munasabah - Utusan Malaysia

Jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga ayam tidak munasabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga ayam yang tidak munasabah.

Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, terdapat sedikit kekeliruan isu harga ayam yang dipaparkan di pasar Sabah dan Sarawak.

“Mungkin ada sedikit kekeliruan, harga yang dipamer itu adalah harga yang dikawal sebelum 1 November, sejak dahulu lagi bagi Sabah, Sarawak dan Labuan memang lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

“Kalau di sini RM9.40 sekilogram, di Labuan dan Sabah ditetapkan sebelum ini RM11.30 tetapi di Sarawak lebih unik, ada 9 harga berbeza yang ditetapkan.

“Jadi apabila diapungkan, ada pihak tertentu yang membuat perbandingan sama dengan harga di Semenanjung,” katanya ketika mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 di sini hari ini.

Terdahulu KPDN sentiasa memastikan penawaran bekalan ayam ditambah dengan harga Jualan Rahmah pada kadar diskaun di antara 10 hingga 30 peratus menerusi Program Jualan Rahmah (PJR) di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Sementara itu, beliau tidak menafikan terdapat tempat tertentu harga ayam dinaikkan lebih tinggi daripada harga kawalan sebelum ini di Sabah dan Sarawak berlaku ekoran isu logistik seperti di Lawas dan Limbang.

Armizan berkata, pihaknya sedang melakukan penguatkuasaan selepas adanya aduan dari orang ramai dan pemantauan dilakukan mengikut kes.

Menurutnya, hasil pemantauan selama lima hari bermula 1 November sehingga 5 November, ayam standard bersih di Semenanjung dijual pada harga RM5.90 jauh lebih rendah daripada harga siling iaitu RM9.40 namun ada juga dijual harga RM10.50 seperti di Mentakab, Temerloh dan Pasar Awam Matang di Perak.

Ayam super di Sabah dijual pada harga RM10 iaitu lebih rendah dari harga kawalan sebelum ini RM11 dan tertinggi RM13.90 manakala di Sarawak dijual pada harga RM9.90 dan tertinggi RM18.90.

Katanya, KPDN memerlukan kerjasama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam mencari penyelesaian dan perancangan jangka masa panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN