SETIU: Hasrat lebih 100 penduduk di Kampung Seri Bayas di sini untuk mempunyai jambatan ‘bebas banjir’ sejak 40 tahun lalu, bakal menjadi kenyataan apabila kemudahan itu dijangka siap sepenuhnya tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seri Bayas, Mohd. Arif Deraman, 43, berkata, pembinaan jambatan sepanjang 200 meter yang menelan belanja RM17.78 juta itu dapat mengatasi masalah terputus hubungan apabila berlaku banjir.
“Setiap kali musim banjir, paras air sungai meningkat berlipat kali ganda menyebabkan kampung kami seperti pulau kerana jambatan sedia ada yang menjadi laluan utama penduduk ditenggelami banjir.
“Keadaan itu mengakibatkan penduduk terputus hubungan dengan kampung bersebelahan, ia menyukarkan untuk keluar ke bandar berdekatan bagi urusan harian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Mohd. Arif berkata, susulan itu mereka mengambil inisiatif meletakkan dua buah bot bagi kemudahan penduduk di kawasan berkenaan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
Dalam pada itu, katanya, jika berlaku banjir kali ini, penduduk tidak lagi perlu bimbang apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi kebenaran kepada mereka menggunakan sementara jambatan itu walaupun belum siap sepenuhnya.
Sementara itu, seorang penduduk, Norul Suzantika Mohd., 38, berkata, setiap kali sebelum musim banjir, dia melakukan persiapan awal dengan menyediakan bekalan makanan secukupnya untuk kegunaan sepanjang tempoh banjir.
“Bagi mengelakkan menyeberangi sungai dengan bot pada musim banjir, selalunya saya memperuntukkan kira-kira RM500 membuat persiapan membeli bekalan makanan asas seperti beras, minyak, tepung, gula untuk dijadikan stok makanan.
“Selain bekalan di rumah, saya menyimpan stok jualan awal di kedai makan yang turut terletak di kampung yang sama untuk membolehkan saya berniaga sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Menurut Norul Suzantika, dia tidak mahu mengambil sebarang risiko meredah banjir untuk keluar membeli barangan keperluan ketika musim bah.
“Penduduk berharap proses pembinaan jambatan itu akan dapat disiapkan segera untuk kemudahan penduduk kampung,” ujarnya.-UTUSAN










