KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri sedang berusaha menyelesaikan isu penyelenggaraan kuarters guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid.
Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menangani isu berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christopher Mandut meminta kerajaan Persekutuan supaya memberi tumpuan kepada usaha membaik pulih dan menaik taraf kemudahan sekolah-sekolah di Sabah.
Aktiviti turun padang ke kawasan pedalaman Sabah perlu sentiasa dilakukan bagi membolehkan pemimpin negara melihat sendiri keadaan dan keperluan di sekolah-sekolah berkenaan.
Ini susulan daripada pendedahan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, George Odol bahawa beliau tinggal dalam stor pra sekolah selama tiga tahun dan dihujung perkhidmatannya baru dibina kuarters guru. Guru berkenaan akan bersara wajib 27 November ini.
Christopher berkata, kisah yang diceritakan oleh guru tersebut menjadi bukti bahawa Sabah masih ketinggalan dalam arus pemodenan, terutamanya dari segi kemudahan prasarana di sekolah-sekolah pedalaman.
“Kita ingin melihat lebih banyak usaha baik pulih, naik taraf sekolah dan penyelenggaraan infrastruktur di Sabah sebagai antara keutamaan kerajaan, selain memberi tumpuan terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pendedahan yang dilakukan diharap menjadi iktibar kepada kerajaan untuk lebih memandang serius mengenai kemudahan pendidikan di Sabah dan segera mengambil tindakan proaktif dalam meningkatkan infrastruktur sekolah serta memperuntukkan dana yang mencukupi bagi keperluan guru di negeri ini.
Katanya, sudah tiba masa untuk Kementerian Pendidikan membuat penelitian 200 peratus mengenai keperluan guru-guru di Sabah.
“Bayangkan kita sudah 60 tahun merdeka dan keadaan seperti ini masih berlaku di Sabah. Namun, setiap kali kita mendengar ucapan pemimpin, pasti akan menyentuh tentang peningkatan kualiti pendidikan negara.
“Saya turut cadangkan agar kerajaan dapat menaikkan peruntukan fizikal untuk sekolah-sekolah di Sabah, termasuklah peruntukan bagi aktiviti-aktiviti sukan sekolah,” katanya.
Jelas beliau, kisah seperti Cikgu George tidak harus dibiarkan berlanjutan sehingga menjadi satu kebiasaan atau trend untuk guru menceritakan kedaifan sekolah menerusi media sosial.
Christopher berkata, beliau amat kagum mendengar ketabahan dan pengorbanan Cikgu George yang sanggup tinggal di stor sekolah selama tiga tahun demi peningkatan pendidikan di sekolah berkenaan. Komitmen tinggi beliau terhadap komuniti ini patut dipuji. –UTUSAN