‘Ini perhimpunan keagamaan, tidak perlu permit pun’

‘Ini perhimpunan keagamaan, tidak perlu permit pun’

MOHD. Zai Mustafa (dua kiri), Mohd Aswanizam Alias dan Nadia Aziz di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang peguam menafikan kononnya Himpunan Selamatkan Syariah di sini pada Isnin lalu ada berbaur politik sehingga memerlukan sebarang permit kebenaran.

Nadia Aziz malahan menegaskan bahawa program anjuran Gerakan Selamatkan Syariah yang dihadiri lebih 1,000 peserta itu sebenarnya lebih berbentuk himpunan keagamaan sebagaimana Jadual Ketiga Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

“Berdasarkan pandangan kita sebagai pengamal undang-undang, acara ini hanya diisi dengan peserta bermunajat, zikir, solat selain berselawat secara beramai-ramai.

“Kita sudah semak balik Akta Perhimpunan Aman 2012, acara ini sebenarnya tidak perlu pun permit atau kena dimaklumkan kepada balai polis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bersama tiga individu lain selaku penganjur himpunan itu dirakam keterangan oleh polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada pengerusi gerakan tersebut, Mohd. Zai Mustafa serta setiausahanya, Mohd Aswanizam Alias dan seorang ahli jawatankuasa, Muhammad Fadzli Abu Bakar.

Turut mengiringi mereka sebagai peguam bela ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Muhamad Hisham Marzuki dan sesi rakaman itu berlangsung hampir tiga jam.

Himpunan Selamatkan Syariah di padang Dataran Putrajaya dibuat susulan pendengaran petisyen oleh dua beranak mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 yang turut dihadiri ramai pemimpin pembangkang dengan ada berucap menggunakan alat pembesar suara, manakala yang hadir sebahagian besarnya penyokong Pas.

Sementara itu, Mohd. Zai turut menyangkal tohmahan kononnya perhimpunan itu melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan mereka dipanggil disebabkan satu aduan yang mendakwa program itu terdapat elemen isu kaum, agama dan diraja atau 3R.

“Saya hendak menyatakan sebenarnya ada satu laporan berkaitan yang mempertikaikan tujuan program dan ucapan yang dia rasa konon berbaur 3R,” katanya.

Mohd. Zai menambah, sepanjang rakaman keterangan, pihak polis lebih memberikan fokus kepada isu kebenaran penganjuran perhimpunan pada Isnin lepas.

“Mereka juga tanya sama ada mendapat keizinan daripada Perbadanan Putrajaya selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 dan kami sudah memberikan jawapan,” katanya.

Ditanya apakah individu tertentu yang berucap pada himpunan berkenaan akan dipanggil oleh pihak polis selepas ini, beliau menjelaskan tiada maklumat mengenai isu tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya