PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) memandang serius mengenai isu penganiayaan terhadap pembantu rumah asing (PRA) Indonesia selain tidak berkompromi kepada mana-mana majikan yang mendera, menganiaya serta memanipulasi pekerja asing.
Ini ekoran kenyataan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono semalam dalam beberapa laporan media yang menyatakan isu penganiayaan PRA Indonesia memerlukan penyelesaian segera dan menyeluruh daripada majikan serta penguatkuasaan ketat oleh pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar undang-undang dan syarat penggajian PRA.
Katanya, mereka akan didakwa di mahkamah jika melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selain disenarai hitam daripada menggajikan PRA.
“Bagaimanapun, setakat ini pihak Imigresen tidak menerima secara rasmi daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) berkaitan penderaan, penganiayaan dan manipulasi pekerja Indonesia seperti dilaporkan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Jabatan ini mengalu-alukan pihak KBRI untuk mengemukakan aduan secara spesifik kepada Imigresen supaya siasatan dan tindakan lanjut dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ruslin, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan antaranya Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Majlis Anti Pemerdangan Orang (MAPO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk menangani isu eksploitasi pekerja asing termasuk dari Indonesia.
Jelas beliau, sehingga 16 Oktober lalu, sebanyak 447,094 pekerja asing mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) manakala 57,916 daripanya merupakan pekerja asing Indonesia.
“Kebajikan dan perlindungan kepada pekerja Indonesia antara perkara yang telah dimasukkan dalam Memorandum Persefahaman Antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia Mengenai Penggajian dan Perlindungan Pekerja Domestik Indonesia di Malaysia.
“Justeru, kita menyeru supaya orang awam melaporkan dan menyalurkan sebarang maklumat berkenaan majikan yang menganiaya atau mengeksploitasi pekerja asing kepada Jabatan ini supaya tindakan yang tegas dapat diambil ke atas majikan tersebut,” katanya.
Portal berita semalam melaporkan kira-kira 90 peratus aduan diterima Kedutaan Indonesia berkait pekerja domestik, dengan ada yang tidak dibayar gaji selama 19 tahun.
Duta Besar Indonesia, Indera Harmoni menegaskan, penganiayaan pembantu rumah Indonesia yang menunjukkan trend membimbangkan, memerlukan penyelesaian segera dan tuntas daripada majikan serta penguatkuasaan lebih ketat oleh pihak berkuasa.
Tambahnya, penyelesaian isu itu penting bukan sahaja demi kebajikan pekerja Indonesia tetapi juga hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Laporan turut menunjukkan terdapat kes dera dan penganiayaan seperti tidak diberi makanan, justeru menekankan kepentingan untuk intervensi,” katanya. – UTUSAN