KULIM: Ibu kepada guru lelaki yang hilang di kawasan peranginan Sungai Sedim kini berserah kepada pihak polis untuk proses selanjutnya selepas gerakan mencari dan menyelamat (SAR) anaknya dihentikan sejak Isnin lalu.
Zaiton Othman, 64, berkata, selepas dimaklumkan bahawa operasi itu dihentikan dan akan disambung semula jika ada sebarang petunjuk baru, maka mereka sekeluarga reda dengan sebarang ketentuan Allah.
“Saya reda dengan ujian yang diberikan Allah ini dan kini hanya mampu berdoa dengan harapan agar anak sulung saya, Mohd. Hafiz Jasmi ditemukan.
“Kami serahkan segalanya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu ketika operasi SAR dijalankan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.
Sejak 8 November lalu, operasi mencari Mohd. Hafiz, 38, dilakukan di sekitar pusat peranginan Sungai Sedim selepas mangsa dilaporkan hilang oleh keluarganya.
Menurut Zaiton, pelbagai usaha serta ikhtiar sudah dilakukan untuk mengesan Mohd. Hafiz di persekitaran pusat peranginan tersebut namun masih lagi menemukan jalan buntu.
“Semua usaha dilakukan dan kini saya hanya mampu berserah kepada Allah bagi sebarang kemungkinan,” ujarnya.
Mengimbau sebelum kehilangan itu, Zaiton berkata, pada 3 November lalu Mohd. Hafiz sepatutnya membawa bapanya, Jasmi Tabri, 62, yang menghidapi strok untuk menunaikan solat Jumaat di masjid.
Namun pada hari itu Mohd. Hafiz tidak datang ke rumahnya, malah dia tidak menerima sebarang panggilan daripada anaknya untuk memaklumkan mengapa tidak hadir.
“Saya hanya tahu kehilangannya selepas dihubungi oleh guru besar di sekolah tempatnya mengajar pada Rabu minggu lalu,” katanya.-UTUSAN