Tujuh keterujaan PBAKL 2025

Tujuh keterujaan PBAKL 2025

MOHD. Khair Ngadiron (kiri) mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peminat buku sekali lagi akan menikmati atmosfera dunia perbukuan terbesar di negara ini apabila Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-42 pada tahun 2025 diadakan bermula 23 Mei hingga 1 Jun ini.

Sepanjang tempoh penganjurannya , peminat buku tanah air berpeluang mendapatkan buku kegemaran mereka di reruai yang akan dibuka pada penganjurkan PBAKL kal ini.

PBAKL 2025 menawarkan peluang kepada peminat buku untuk meneroka dunia perbukuan tempatan dan antarabangsa.

 

Acara tahunan tersebut yang dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) menyediakan 1,113 reruai daripada 450 syarikat pameran dengan pelbagai genre karya penulis, penerbit, kedai buku termasuk pempamer dan penerbit buku antarabangsa.

 

Dianggarkan penganjuran PBAKL kali ini akan dikunjungi kali ini 1.9 juta orang. Pameran Hak Cipta Asia (Asian Rights Fair) kali ke-3 juga akan berlangsung serentak selama tiga hari untuk padanan perniagaan industri perbukuan. Buat julung kalinya, turut diadakan Galeri Khas Teroka iaitu satu elemen baharu yang memberi penghormatan kepada keagungan karya Malaysia serta sejarah pembukuan negara.

Galeri itu akan menampilkan koleksi karya terkenal penulis tempatan daripada karya klasik hingga moden yang mencerminkan kepelbagaian budaya.

PBAKL 2025

Tarikh:
23 Mei hingga 1 Jun 2025
Tema: Buku: Membaca Memimpin
Lokasi: Pusat Dagangan
Dunia Putra (WTC)
Jumlah reruai: 1,113
Penganjur: Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM)
Antara aktiviti: Pelancaran buku, sesi bual bicara, bengkel dan seminar.
Sasaran pengunjung: 1.8 juta orang.

Pameran tersebut bertemakan Buku : Membaca, Memimpin dari 23 Mei hingga 1 Jun 2025 di adakan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat bagaimana PBAKL dan industri buku Malaysia berkembang seiring perubahan zaman serta menyaksikan pencapaian besar yang sudah dicapai penulis dan penerbit di arena antarabangsa.

Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti seperti pelancaran buku, sesi bual bicara, bengkel, dan seminar di empat pentas aktiviti iaitu Pentas Utama, Pentas Dunia Buku di Dewan Merdeka, Pentas Dunia Ilmu di Dewan Tun Razak 3 dan Pentas Plaza Merdeka di aras 4.

Malah MBKM turut menyediakan pavilion khas daripada Kementerain Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Agama dan Kementerian Perpaduan Negara.

PBAKL yang masuk ke-42 tahun penganjurannya diadakan bertujuan untuk memupuk budaya membaca dan memperkasa industri perbukuan negara.

MBKM merupakan penganjur yang dahulu dikenali sebagai Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) ditubuhkan pada tahun 1968 berdasarkan perakuan oleh Pertubuan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Pertubuhan tersebut menyarankan penubuhan satu badan khas yang bertanggungjawab untuk mengembangkan minat membaca dan kemajuan industri buku negara. Walau bagaimanapun pada ketika itu, MKBK bergerak aktif hingga 1971 sehinggalah proses penyusunan semula MKBK berlaku pada tahun 1981 dan atas usaha yang digerakkan oleh Menteri Pendidikan ketika itu yang melantik anggota majlis baharu. Nama MKBK telah digantikan dengan MKBM.

Majlis tersebut dipertanggungjawabkan untuk menasihati kerajaan dalam perkara dasar dan peraturan industri buku, khususnya penerbitan bercetak dan penerbitan elektronik dalam bahasa Melayu.

Majlis tersebut juga menjalankan usaha memupuk dan menggalakkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia seperti yang termaktub dalam Dasar Buku Negara serta pembinaan modal insan menggalakkan pembentukan norma dan mengadakan kod etika industri buku untuk meningkatkan profesionalisme serta persaingan yang sihat dan adil dengan mengadakan institusi dan peraturan self-regulation untuk industri buku.

Sementara itu, Pengerusi Pengelola PBAKL 2025, Mohd. Khair Ngadiron berkata, pesta buku bukan sekadar pameran dan jualan buku.

Katanya, ia adalah wadah pertemuan nilai, bahasa dan bangsa, justeru, segala persiapan dilaksanakan dengan teliti demi keselesaan pempamer, pengunjung, tetamu kehormat serta sahabat media dan rakan strategik.

Beliau berkata, sistem tempahan reruai secara atas talian yang diperkenalkan tahun ini menunjukkan perkembangan amat memberangsangkan — mencerminkan kematangan digital industri ini dan kesiapsiagaan kita dalam mendakap perubahan.

“PBAKL 2025 sudah diadakan 42 kali, satu angka yang bukan kecil, dan insya-Allah kami menyasarkan kehadiran 1.9 juta pengunjung. Ini bukan hanya statistik, tetapi petanda suburnya budaya membaca di Malaysia.

“Pada tahun lalu, rekod kehadiran mencatat 1.8 juta pengunjung iaitu melepasi jangkaan awal kami sebanyak 1.3 juta. Ini mengesahkan bahawa buku masih menjadi nadi kehidupan masyarakat, dan PBAKL adalah pentas rakyat menyatakan cinta mereka terhadap ilmu,” ujarnya.

Beliau menambah pesta buku kali ini akan menampilkan tujuh keterujaan iaitu yang pertama, PBAKL kekal sebagai pesta buku hibrid, berlangsung secara fizikal dan digital, demi memastikan ilmu sampai kepada segenap pelosok masyarakat sama ada dekat atau jauh.

Kedua penganjur memperkenalkan empat pavilion khas yang melibatkan kementerian strategik negara iaitu Kementerian Pendidikan dengan fokus kepada literasi dan pembudayaan ilmu; Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mempamerkan penerbitan akademik dan universiti; manakala Kementerian Perpaduan Negara mengenengahkan kandungan berkaitan harmoni sosial; Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi agensi-agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan majlis agama, dengan gabungan 14 agensi di bawah inisiatif Al-Falah memfokuskan kepada penerbitan Islamik.

Turut serta adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai satu pendekatan inovatif menghubungkan ilmu dan ekonomi rakyat. PBAKL 2025 juga menganugerahkan Anugerah Khas Penulis kepada tiga tokoh yang telah memberi sumbangan besar dan berpanjangan dalam memperkayakan dunia perbukuan tanah air.

Kata beliau Mohana Gill, penulis yang menembusi pasaran antarabangsa dengan karya masakan dan gaya hidup sihat, membuktikan bahawa ilmu dan budaya boleh dirangkul dalam satu naskhah yang menyegarkan.

Selain itu katanya, Emila Yusof, dengan ilustrasi dan karya kanak-kanaknya, berjaya menawan hati generasi muda dan menyemai rasa cinta pada buku sejak usia kecil — suatu pelaburan budaya yang luar biasa.

“Tidak dilupakan Muhammad Hilal Asyraf Abd. Razak, atau lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf, penulis muda prolifik yang bukan sahaja prolifik dalam dunia penulisan Islami dan remaja, tetapi juga berjaya membina komuniti pembaca yang berfikir dan berakhlak.

“Ketiga-tiga mereka adalah bukti hidup bahawa pena yang jujur dan berjiwa, akan terus memberi makna dan nyawa kepada industri buku Malaysia. Anugerah ini adalah satu penghargaan, dan seruan kepada semua penulis muda bahawa jalan ini mulia dan perlu diteruskan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×