PETALING JAYA: Video yang memaparkan keletah lucu seorang kanak-kanak perempuan di mana sebahagian rambutnya tersangkut pada permainan slime mencemaskan ibunya.
Bagaimanapun, melalui perkongsian video di aplikasi TikTok milik ibu kepada kanak-kanak tersebut iaitu Nani Norizan, jelas kedengaran gelak tawa wanita tersebut setelah melihat slime yang telah menutupi sebahagian daripada rambut anaknya.
Rakaman video itu menunjukkan wanita tersebut membaringkan anaknya di atas lantai tandas sambil menggunakan sikat dan syampu untuk meleraikan slime yang melekat di kelapa anaknya.
“Lepas tragedi ini, ummi abi tak bagi dah anak-anak main slime lagi. Jenuh cari tips untuk buang slime daripada rambut tu.
“Waktu itu saya agak panik. Tak terbayang macam mana kalau tak boleh hilang. Hampir 30 minit barulah selesai semuanya,” jelas Nani.
Sementara itu, ruangan komen dipenuhi dengan para ibu yang berkongsi petua untuk menanggalkan slime tanpa menggunting rambut anak.
“Guna ais sebab anak saya kena juga dulu terus saya gosok dengan ais barulah tertanggal slime tu,” komen Nurul Atikah Johari.
“Rendam air panas nanti slime cair gosoklah sikit-sikit,” tambah Nureen Lee.
Video itu tular media sosial dan menerima lebih 3 juta tontonan, 2,000 komen dan 60,100 tanda suka. – UTUSAN