Ibu bapa tunjuk bakat, Hari Kantin, Karnival Sukan STB meriah - Utusan Malaysia

Ibu bapa tunjuk bakat, Hari Kantin, Karnival Sukan STB meriah

AKTIVITI Lemak Manis Race antara yang mencuri tumpuan bersempena Karnival 1 Murid 1 Sukan dan Hari Kantin STB di STB Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Suasana di Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini penuh meriah dengan gelagat ibu bapa yang mempamerkan bakat masing-masing menyertai aktiviti Make Up Artis STB Got Talent, Master Chef STB dan Lemak Manis Race bersempena Karnival 1 Murid 1 Sukan dan Hari Kantin STB di sini hari ini.

Tiga aktiviti tersebut antara acara yang mencuri tumpuan bersempena karnival dua hari berakhir esok yang turut berjaya menarik kehadiran lebih 5,000 pengunjung.

Karnival anjuran STB dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik lain termasuk lebih 30 gerai jualan sekali gus merancakkan suasana program berkenaan.

Guru Besar STB, Md Nazir Nik Ali berkata, ibu bapa yang mengikuti aktiviti itu menunjukkan keterujaan mereka dan bersungguh-sungguh bersaing antara satu sama lain menerusi program dianjurkan tersebut.

AKTIVITI Lemak Manis Race antara yang mencuri tumpuan bersempena
Karnival 1 Murid 1 Sukan dan Hari Kantin STB di STB Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

“Tiga aktiviti dianjurkan sememangnya amat menarik, malah dapat dilihat ibu bapa serta guru turut bersorak memberi sokongan kepada pasukan yang bertanding.

“Pelbagai gaya ditunjukkan oleh ibu bapa khususnya dalam acara Lemak Manis Race di mana mereka perlu mengupas, mengukur dan memerah santan dari buah kelapa,” katanya.

Mengulas lanjut, Md Nazir berkata, program itu turut menyediakan beberapa pengisian aktiviti lain seperti pertandingan lompat tali, forum perdana, sepak penalti dan pelbagai lagi.

Katanya, terdapat juga pameran mini zoo, 30 gerai jualan, rumah hantu dan permainan konsul disediakan bagi menarik penglibatan murid untuk terlibat sama dalam program berkenaan.

“Kita juga turut menggabungkan sekali penglibatan guru-guru kelas Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dalam program ini bagi memeriahkan lagi penganjurannya,” katanya.

Dalam pada itu, Md Nazir berkata, program tahunan itu dilaksanakan bertujuan bagi menarik minat murid ke sekolah menerusi penganjuran pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di samping dengan penglibatan sama ibu bapa.

PARA peserta yang menyertai pertandingan Master Chef STB bersempena Karnival 1 Murid 1 Sukan dan Hari Kantin STB di STB Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Katanya, selain itu, murid-murid juga berpeluang untuk mencuba semua jenis permainan dan sukan yang terdapat di sekolah berkenaan sepanjang penganjuran program itu.

“Seramai 5,000 orang pengunjung terdiri daripada ibu bapa dan masyarakat setempat hadir bagi memeriahkan penganjuran program selama dua hari ini.

“Menerusi program ini, setiap murid akan dapat membawa pulang medal walaupun gangsa kerana kita mahu mereka mencuba semua permainan seperti bola sepak, bola jaring, memanah dan pelbagai lagi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya